Pilih Bahasa

SM Tshung Tsin KK johan Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sekolah Menengah Tshung Tsin Kota Kinabalu dinobatkan johan keseluruhan Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019, di sini, hari ini.

Kemenangan berkenaan sekaligus mencipta sejarah bagi sekolah itu apabila memegang gelaran juara kategori forum pelajar untuk tiga tahun berturut-turut.

Pasukan Sekolah Menengah Tshung Tsin Kota Kinabalu bergambar kenangan bersama guru pengiring selepas Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Kejayaan lebih bermakna apabila salah seorang anggota kumpulan diumumkan sebagai Pengerusi Terbaik selain memenangi tempat pertama bagi kategori deklamasi puisi.

Wakil kumpulan, Philisia May Vong Pei Lu, 17, berkata dia bersama empat lagi ahli kumpulan bersyukur kerana hasil usaha srta kerja jeras meereka berlatih hampir setiap hari akhirnya membuahkan hasil.

Philisia berkata cabaran utama sepanjang persediaan menyertai pertandingan berkenaan sudah pastinya kekangan masa untuk melakukan sesi latihan memandangkan sekolah mereka adalah mengamalkan sesi persekolahan satu sesi sahaja bermula jam 7 pagi sehingga 3 petang.

“Kebiasaannya, kami akan berlatih selepas waktu sekolah dan mengambil masa kira-kira dua jam.

“Adakalanya kami juga terpaksa mengorbankan masa hujung minggu untuk melakukan latihan bagi memastikan persediaan cukup mantap terutamanya beberapa minggu terakhir sebelum pertandingan.

Kumpulan pelajar yang mewakili mewakili Sekolah Menengah Tshung Tsin Kota Kinabalu menunjukkan hadiah kemenangan bagi kategori forum pelajar sempena Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Bagaimanapun, kejayaan pasukan ini bukanlah disebabkan kami sahaja tetapi kemenangan ini ditujukan kepada guru pembimbing, pihak sekolah dan keluarga kerana tanpa sokongan dan semangat mereka mungkin kami sukar meraihkan kemenangan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas acara berlangsung.

Disertai sembilan sekolah menengah persendirian Cina, pertandingan dirasmikan oleh Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Henry Shin Chee On mewakili Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemenangannya selaku Pengerusi Terbaik, Philisia dalam nada sebak menyatakan pengiktirafan terbabit ialah kemenangan diluar jangkaannya sejak dari mula mengikuti pertandingan.

Philisia berkata dia menganggap kemenangan pasukan serta kategori peribadi itu sebagai pembakar semangat untuk trus bergiat aktif dalam pelbagai pertandingan seumpama walaupun sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi kelak.

Ennque Elvin Jr Wong
menunjukkan hadiah kemenangan bagi kategori deklamasi puisi sempena Pertandingan Forum Pelajar dan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, johan kategori deklamasi puisi, Ennque Elvin Jr Wong, 17, berkata latar belakang berbangsa Cina bukan penghalang buat dirinya bagi melakukan persembahan terbaik dalam pertandingan terbabit.

Ennque menyatakan walaupun dirinya bukan berbangsa Melayu yang boleh menuturkan bahasa itu dengan lain tetapi dia tidak pernah beranggapan ia menjadi perkara yang susah disebabkan sebagai rakyat Malaysia, semua individu harus pandai menuturkan bahasa berkenaan.

“Saya sangat suka subjek Bahasa Melayu malahan guru pembimbing antara rujukan utama yang banyak membantu seanjang pertandingan.

“Selain itu, bekas pemenang kategori sama tahun lepas juga banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar agar saya kekal yakin srta bersemangat sehingga hari pertandingan,” katanya kerap melakukan latihan walaupun berada di rumah. -SabahNews Today