Pilih Bahasa

SMK Membakut 2 perlukan asrama atasi masalah ketidakhadiran pelajar: Arifin

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut Datuk Arifin Mohd Arif mencadangkan agar pihak kerajaan Negeri mewujudkan asrama di SMK Membakut 2 bagi tujuan mengurangkan masalah ketidakhadiran para pelajar ke sekolah atas faktor jarak perjalanan yang agak jauh.

“Saya mencadangkan untuk asrama ini diwujudkan kerana adalah perlu untuk kita melihat keperluan anak-anak kita yang rumahnya adalah jauh daripada sekolah dan mereka sukar bergerak ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan setiap hari.

Datuk Arifin Mohd Arif. Gambar Fail SNT

“Banyak kelas atau bilik darjah yang kosong dan tidak digunakan boleh diubah suai dan dijadikan asrama untuk anak-anak kita yang memerlukan kediaman di sekolah kerana kita tidak mahu anak-anak kita tercicir daripada mendapatkan pendidikan yang baik dengan alasan jarak ke sekolah yang jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) disini hari ini.

Menurut Arifin, pihak kerajaan juga boleh mewujudkan Bengkel Kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa dan guru tentang keperluan para pelajar.

“Ini adalah perlu bagi memberi pendedahan dan ibu bapa juga akan lebih peka dengan perkembangan anak-anak di sekolah,” katanya lagi.

Arifin turut memberitahu bahawa untuk melahirkan generasi baharu yang berpendidikan tinggi, aspek agama juga perlu diselitkan dan diberi keutamaan.

“Bagi tujuan ini, saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan Negeri, sekiranya dapat kita tubuhkan Kolej Tahfiz Sabah bagi memberi ruang untuk anak-anak kita mendapatkan pendidikan agama sehingga peringkat diploma dan terus melanjutkan pengajian ke Mesir misalnya kerana ini akan melahirkan anak-anak yang hafiz dan hafizah yang pastinya mampu membawa kepada kejayaan mereka di dunia dan akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin turut berkata bahawa kerajaan Negeri boleh meneliti untuk mewujudkan Kolej Bersepadu Tingkatan Enam di kawasan Membakut.

“Sebagaimana yang diwujudkan di Putatan dan Sandakan, adalah perlu juga sekiranya pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Inovasi meneliti keperluan untuk mewujudkan kolej ini bagi tujuan untuk memantapkan lagi prestasi anak-anak dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” tambahnya lagi.-SabahNewsToday