Pilih Bahasa

Soal pembahagian kerusi masih terlalu awal dibincang

Oleh Alfred Petrus

Wilfred Madius Tangau. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata sekarang bukan masanya untuk memikirkan soal pembahagian kerusi bagi 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) baharu.

Wilfred berkata apa yang penting buat ketika ini adalah mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.

“Berkenaan 13 kerusi Dun baharu negeri, sudah pasti kerajaan menyokong sepenuhnya kerana ia telah diluluskan di Dewan Rakyat sejak 2016 lagi.

“Namun, soal pembahagian kerusi itu adalah perkara kedua bagi semua parti. Ini bukan masanya. Masanya akan tiba untuk membincangkan bersama dari segi soal pembahagian kerusi.

“Yang penting sekarang kita mahu perkukuhkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar penyertaan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) dalam Ekspo Malaysia Fest Singapore 2019, di Wisma Kewangan di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata kerajaan pada masa kini mahukan satu suasana yang stabil di bawah tampuk pemerintahan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dalam perkembangan lain, Wilfred merangkap Presiden Parti Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menyatakan sokongan terhadap had umur minimum individu yang layak mengundi iaitu 18 tahun dan ke atas.

“Itu juga sesuatu yang kita alu-alukan. Pada masa yang sama, kita juga perlu penyesuaian bagaimana kerajaan berkomunikasi dengan rakyat terutama sekali dengan pengundi-pengundi baharu.

“Dari segi sistem penyampaian kerajaanpun kita kena sesuaikan untuk pastikan supaya rakyat khususnya dalam golongan ini dapat mengetahui dan maklumat sebenar tentang perkhidmatan dan pelayanan yang dibuat oleh kerajaan.

“Terutama sekali yang berkaitan dengan dasar, program dan sebagainya. Itu bagi kami yang lebih penting,” jelasnya. – SabahNewsToday