Pilih Bahasa

Sokong usaha henti politik wang – Shafie

TAWAU: Rakyat negeri ini diajak menyokong usaha menghentikan kuasa politik wang ringgit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pilihan raya adalah platform rakyat menentukan pemerintah sama ada negeri mahupun menggunakan hak mengundi.

Shafie menerima kemasukan ahli Warisan baharu dari suku kaum Tionghua. Gambar SNT

“Pengundi tidak akan kaya dengan duit diberi RM200 atau RM300, tidak mampu beli kereta, tidak cukup bina banglo, pengundi ada maruah dan penentu masa depan anak-anak Sabah.

“Undi hak rakyat, undi tidak boleh dijual, undi kamu punya, tangan kamu yang mengundi, jangan jual undi,” katanya dalam satu majlis bersama calon-calon Warisan bertemu rakyat di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shafie, PRN ini cukup penting untuk rakyat menentukan masa depan Sabah dan memilih pemimpin yang mempunyai keikhlasan dan kejujuran dalam membela nasib rakyat.

Sementara itu ketika sidang media, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melonggarkan peraturan sedia termasuk syarat kelayakan parti bertanding yang wajib berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Shafie bersama calon Warisan bagi Dun di Tawau ketika sidang media pada majlis ramah mesra di Batu 2, Tawau. Gambar SNT

“Berdasarkan peraturan sedia ada jelas menyatakan setiap parti bertanding boleh menggunakan lambang yang berdaftar di bawah ROS.

“Justeru, saya hairan apabila melihat banyak logo Perikatan Nasional (PN) sepanjang jalan dan timbul persoalan sejak bila ia berdaftar, yang saya tahu hanya Barisan Nasional (BN) dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),”katanya.

Sehubungan itu beliau berharap agar perundangan sedia ada tidak dilonggarkan bagi mengelak kesan lain pada masa akan datang.

“Jika dibolehkan, tidak mustahil pada pilihan raya akan datang, kaedah ini akan terus diamalkan sekali gus memberi kesan negatif kepada SPR sebagai badan bebas,” katanya.

Terdahulu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa tiada rekod berkaitan PN dipaparkan menerusi semakan di laman sesawang ROS, sehingga jam 2.22 pagi tadi.-SabahNewsToday