Pilih Bahasa

Sokongan Keluarga Kunci Golongan Istimewa Ini Terus Ke Hadapan

Persembahan muzik dari kanak-kanak OKU penglihatan selepas bengkel muzik berlangsung. Gambar oleh Marusin Minuddin

Oleh Hazlinah Samsir

KOTA KINABALU: Ketidakupayaan menjadi cabaran dalam menjalani kehidupan seharian. Ini adalah satu realiti yang perlu dihadapi oleh golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, setakat Oktober 2018, seramai 32, 985 orang OKU telah berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

Sementara itu, tujuh kategori OKU dikenal pasti iaitu pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, masalah pembelajaran, mental dan pelbagai.

KELUARGA JANTUNG KEHIDUPAN

Golongan istimewa itu mempunyai cabaran dalam melakukan tugasan harian yang dianggap mudah oleh orang biasa. Bukan itu sahaja, emosi dan mental juga teruji bila berhadapan dengan pandangan dan diskriminasi masyarakat.

“Terasa janggal bila orang tengok saya, macam saya ni makhluk asing,” kongsi Lissa Augostine, 24, yang mengalami lumpuh separuh badan kerana menanggung Cerebral Palsy (CP).

Lissa (kanan) berkongsi kisahnya ketika ditemubual. Gambar oleh Marusin Minuddin

Lissa dikenalpasti menghidap CP ketika berumur 9 bulan apabila dia masih belum boleh bertiarap sedangkan kembarnya sudah aktif menjelajah rumah.

Meskipun diuji dengan ketidakupayaan fizikal, Lissa mempunyai semangat yang kental dalam meningkatkan kemampuannya untuk berdikari. Namun begitu, sokongan keluarga merupakan kunci utama dia mampu menjadi optimis.

“Sokongan emosi daripada keluarga merupakan kunci utama kami mampu untuk terus ke hadapan. Tanpa sokongan dari mereka, agak mencabar untuk kami positifkan diri dan mempunyai keyakinan.

“Titik tolak perubahan diri saya apabila bergaul dengan orang yang senasib iaitu Francis Xavier Kinjin, 34, atlet angkat berat ParaSukma yang berlangsung 20 November ini,” kisahnya.

Francis yang lebih senang dikenali sebagai Oliver berkata keluarga merupakan penyokong tegar sehingga dia menjadi dirinya sekarang.

Dia yang mengalami ketidakupayaan fizikal dari lahir berkata sejak kecil lagi dia sudah dilatih keluarga untuk berdikari.

“Keluarga tidak memanjakan saya atau menganggap saya istimewa sehingga semua perkara perlu dibantu. Mereka juga tidak menggalakkan saya untuk biasa mengungkapkan perkataan ‘tolong’.

“Saya masih mempunyai tangan jadi mengapa tidak saya menggunakan keupayaan tangan saya untuk melakukan aktiviti harian yang orang biasa lakukan?” luahnya.

Selain menjadi atlet, Oliver dengan bantuan geran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat juga memiliki kedai runcitnya sendiri.

Dalam pada itu, Muhamad Khairy Miutary Lorin, 33, dari Kota Belud turut mempunyai pandangan yang sama. Selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya pada tahun 2011, Khairy disahkan lumpuh separuh badan dan terpaksa menjalani kehidupan di atas kerusi roda setelah 25 tahun menjalani kehidupan seperti insan biasa.

“Ia merupakan suatu tamparan hebat dan satu perubahan yang sangat besar. Tapi saya sangat bersyukur dengan sokongan yang diberikan keluarga, saya tidak merasa ada kurang dalam hidup saya sekarang.

“Pada mulanya memang keluarga sangat risau, hingga tidak boleh jika saya tiada di depan mata mereka kerana takut saya jatuh dari kerusi roda atau apa-apa yang buruk berlaku.

“Tapi lepas melihat perubahan pada diri saya sekarang dan kehidupan yang saya jalani sekarang, mereka percaya saya dapat menjalani kehidupan sama seperti sebelum ini.

“Kalau pada awalnya, isteri terpaksa menghantar saya ke mana saya mahu, sekarang saya pula yang akan hantar isteri ke tempat kerja,” ceritanya.

Khairy juga akan mewakili Sabah dalam sukan olahraga ParaSukma bersama Oliver nanti.

Francis (tengah) bersama Khairy (dua dari kiri) dan Lissa (kiri) bergambar kenangan di Karnival OKU ‘We Are All Special’. Gambar oleh Marusin Minuddin

Suatu pegangan yang mereka sehati, dalam menjalani kehidupan sebagai OKU, yang paling penting sekali adalah tidak berhenti maju kehadapan.

“Kami tahu kami ada kekurangan, kami sedar ada perbezaan, tapi kami juga punya kelebihan masing-masing. Perkara yang paling penting kami sampaikan kepada rakan-rakan OKU yang putus harapan ialah ‘Move On’. Jika kita mampu dan ingin terus maju, kita tiada kurangnya berbanding orang lain,” jelas Oliver dan disokong oleh Khairy dan Lissa.

Heng (kiri) menemani anaknya Chen (kanan) di Karnival OKU ‘We Are All Special’. Gambar oleh Marusin Minuddin

Dalam keriuhan pengunjung ke Karnival OKU di Perpustakaan Negeri itu, turut kelihatan seorang ibu, Heng Yok Wui, 43 yang berasal dari Luyang bersama anaknya.

Dia yang sebelum ini berkerja di Semenanjung, pulang ke Sabah bagi mengatur pendidikan anaknya Chen Zai Sheng, 7 di Sekolah Kebangsaaan Pendidikan Khas Tuaran.

Menurut Heng, perkara pertama yang ibu bapa perlu lakukan adalah menerima kekurangan yang dihadapi anak mereka.

“Sekiranya kita mampu menerima kekurangan itu, kita akan dapat mencari jalan bagaimana untuk mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan mahupun aspek lain, sama seperti kanak-kanak normal.

“Jika kita menafikan kekurangan ini, kita tidak akan dapat berikhtiar kemudahan dan peluang yang sebenarnya ada untuk mereka,” kongsinya.

Chen disahkan menghidap Familial Exudative Vitreoretinopathy (FEVR) ketika dia berumur tiga bulan iaitu mata kanannya tidak mampu melihat sementara penglihatan mata kirinya sangat terhad.

“Selepas doktor mengesahkan Chen menghidap FEVR, kami terus mencari jalan untuk membantunya. Salah satu adalah dengan pendidikan dan guru-guru menceritakan Chen merupakan kanak-kanak yang sangat ceria dan senang bergaul di sekolah.

“Ia juga menjadi cabaran bagi saya untuk sentiasa mencari ruang dan peluang untuknya apabila dia dewasa kelak,” kongsinya lagi.

Meski Chen baru memulakan pelajaran di sekolah rendah, Heng sudah mula membuat kajian mengenai haluan dan pekerjaan yang boleh diceburi anaknya suatu hari nanti.

Manakala Michelle Nicola Jianul, 37 dari Putatan juga merupakan seorang ibu yang aktif memberikan sokongan kepada anaknya Leia May, 13 yang menghidap CP.

“Pada mula Leia disahkan menghidap CP, saya berasa sangat sedih. Tetapi demi anak tersayang, saya terus mencari ikhtiar untuk dia belajar berdikari, memberikan pendidikan dan sentiasa menjaga kesihatan serta keselamatannya,” katanya.

Michelle (kanan) menemani anaknya Leia (kiri) sepanjang Karnival OKU berlangsung. Gambar oleh Marusin Minuddin

Kongsi Michelle, sebagai ibu tidak seharusnya malu jika mempunyai anak istimewa. Tetapi yang perlu dilakukan ialah berikan sokongan dan dorongan agar mereka tidak merasa kurang dari anak-anak lain.

PENDIDIK PENYULUH JALAN

Tanpa mengenal penat dan lelah, kelihatan seorang guru setia di sisi pelajar-pelajarnya. Ternyata 20 tahun pengalaman sebagai guru pendidikan khas tidak menjadi satu bebanan buat Arman Abdul Sani, 45, bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran.

SMK Badin merupakan sekolah pendidikan khas bagi kanak-kanak OKU penglihatan samada sepenuhnya ataupun low vision (penglihatan teruk).Menyediakan khidmat asrama kepada pelajar, seramai 15 orang pendidik sedia membantu dan mendidik kanak-kanak ini.

“Menjadi satu cabaran dan tanggungjawab guru pendidikan khas bagi menyelaraskan pengajaran dan pembelajaran agar mereka tidak tercicir dengan pendidikan arus pedana.

“Meski mereka tidak seperti pelajar normal, tetapi mereka ini lebih mudah memahami pelajaran. Ikhtiar yang dilakukan ialah menukarkan buku teks kepada tulisan braille, mengajar mereka menggunakan mesin taip braille, gambar rajah bagi sains dijadikan dalam bentuk timbul agar mereka mudah faham.

“Ia merupakan pengorbanan kami dan kami sangat berpuas hati melihat mereka berjaya. Setakat ini, sudah ramai pelajar kami yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan ada juga yang sedang mengambil Ijazah Sarjana. Salah satu kebanggaan kami apabila salah seorang pelajar kami telah berjaya menjadi pensyarah dan mendapat Anugerah Pelajar DiRaja di Universiti Utara Malaysia,” kongsinya.

SMK Badin merupakan sambungan pengajian bagi Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran yang terletak di Jalan Ketiau, Putatan. Pada mulanya, sekolah ini terletak di Tuaran, tetapi telah diberikan bangunan baharu di Putatan pada tahun 2014.

Stefanus Lucas, 26 berasal dari Tamparuli merupakan salah seorang guru yang mendidik kanak-kanak di sekolah tersebut. Beliau merupakan guru muzik dan juga Bahasa Malaysia di sekolah itu.

“Anak-anak ini banyak membantu saya dalam memahami keadaan mereka dan bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian.

“Saya sangat berbangga dengan mereka kerana meski mempunyai kekurangan penglihatan, terdapat beberapa orang antara pelajar saya yang mahir bermain keyboard sedangkan anak-anak yang mampu melihat secara normal belum tentu berjaya mempelajarinya,” kongsinya.

Arman dan Stefanus menyeru agar sekiranya ada ibu bapa yang mempunyai anak yang memerlukan pendidikan khas, berikan peluang kepada mereka untuk mencungkil bakat dan kemampuan mereka melalui sekolah.

MASYARAKAT DAN KERAJAAN PRIHATIN 

Daripada jumlah 32,985 orang OKU yang berdaftar, seramai 2,556 ialah OKU pendengaran, 2,902 OKU penglihatan, OKU pertuturan seramai 290 orang, OKU fizikal seramai 9,909 orang, 13,420 OKU masalah pembelajaran, 2,541 OKU mental dan 1,909 lagi OKU pelbagai.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata pelbagai program telah dan sedang dilaksanakan bagi menyebar luas perkhidmatan, peranan dan inisiatif dijalankan kerajaan.

Malah, bantuan kewangan turut dberikan seperti Elaun Pekerja Cacat kepada 1,378 orang penerima dengan perbelanjaan RM5.2 juta, bantuan OKU Tidak Berupaya Berkerja (BTB) seramai 1,272 penerima dengan belanja RM2.5juta, bantuan penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) seramai 2,152 orang penerima dengan belanja RM7.6juta dan Skim Bantuan Am (SBAM) kepada 4,330 orang penerima dengan perbelanjaan RM7.1 juta.

Dalam pada itu, terdapat 37 buah Pusat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), satu institusi Kompleks Pemulihan OKU (KPLOKU), dan lima buah Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya (TDKKKU) disediakan kerajaan di Sabah. Tidak ketinggalan bagi aspek pendidikan, Jabatan Perpustakaan Negeri Sabah antara yang aktif membantu golongan OKU. Bukan sahaja kemudahan disediakan, tetapi mereka turut menyediakan buku-buku braille bagi membantu OKU penglihatan.

Valerie (dua dari kanan) menunjukkan Buku Tactile bagi membantu kanak-kanak OKU penglihatan membaca dan memahami buku cerita dalam tulisan Braille. Gambar oleh Marusin Minuddin

“Perpustakaan Negeri Sabah merupakan yang pertama dan satu-satunya mengeluarkan Buku Tactile. Ia merupakan buku khas bagi kanak-kanak OKU penglihatan berumur 12 tahun ke bawah,” kongsi Valerie Anthia Joseph, 30, yang bertugas sebagai Pembantu Perpustakaan.

Buku Tactile adalah buku yang merangkumi cerita kanak-kanak menggunakan tulisan Braille dan terdapat gambar rajah timbul bagi membantu imaginasi dan pemahaman mereka mengenai cerita itu.

Contoh Buku Tactile yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah. Gambar oleh Marusin Minuddin

Selain itu, buku teks braille bagi dewasa dan mesin taip braille juga disediakan perpustakaan negeri di tingkat 3, bahagian perkhidmatan pembaca di mana mereka turut menyediakan khidmat bantuan bagi yang ingin belajar menggunakan mesin taip tersebut.

Tambahnya, Perpustakaan Negeri juga sangat mengalu-alukan sukarelawan dalam membantu pembuatan buku tactile dan juga menerima jemputan bagi bengkel membuat buku itu.

KURANG UPAYA, MENGUPAYAKAN

Meski mempunyai kekurangan jika dibandingkan dengan orang biasa, setiap OKU ini sentiasa mempunyai kelebihan dalam aspek-aspek lain dan turut mampu menyumbang dalam kepakaran mereka.

Sebagai contoh, atlet paralimpik yang mengharumkan nama negara Mohamad Rizuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly.

Selain itu, Prof Dr Ismail Salleh sebagai OKU penglihatan pertama yang melakar nama dalam Guinness Book of Record sebagai OKU pertama memperoleh ijazah kedoktoran. Beliau juga merupakan Senator Pakar Ekonomi OKU yang pertama di Malaysia.

Terdapat ramai lagi yang berjaya berbanding orang biasa seperti usahawan OKU Sukur Ibrahim, Zhariff Affandi dan Ruzimi Mohamed. Terbukti, kekurangan yang mereka miliki ini tidak menghentikan perjalanan mereka untuk terus maju malah ada yang lebih berjaya berbanding insan normal. Justeru, golongan ini perlu lebih diiktiraf dan diberikan peluang dalam membukti kebolehan mereka berbanding didiskriminasi oleh masyarakat.-SabahNewsToday/PENERANGAN