Pilih Bahasa

Sokongan meningkat, lebih 500 ahli Umno sertai Warisan

KIMANIS, 10 Jan — Akibat hilang kepercayaan, sebanyak 556 ahli UMNO Kimanis menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) sepanjang seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berlangsung sejak proses penamaan calon pada 4 Jan lepas.

Situasi tersebut sekali gus menunjukkan rakyat di kawasan Kimanis hilang keyakinan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) meskipun pelbagai janji dan taktik diatur parti pembangkang itu bagi menambat hati pengundi di kawasan berkenaan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) bersama penduduk menunjukkan dua jari yang merujuk nombor calon Parti Warisan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi Simpangan, Ulu Kimanis hari ini. Turut hadir Naid Presiden Parti Warisan Datuk Peter Anthony (dua, kiri). PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Alamin. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal pada 14 Jan. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bekas Bendahari UMNO Kimanis selama tiga penggal dari 2010-2016, Ag Muslim Mohd Talib turut menyertai parti tempatan Sabah itu, dan menerima kad keahlian yang disampaikan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semalam.

Mohd Shafie berkata sejak Warisan memulakan kempen di Kimanis pada 4 Jan lepas, parti itu menerima banyak penyertaan ahli UMNO daripada beberapa cawangan di kawasan berkenaan, malah ada markas BN turut dibubarkan.

“Ini sedikit sebanyak menunjukkan perubahan dan kesedaran masyarakat yang tidak mahukan BN dan UMNO …cukuplah di Sabah,” katanya kepada pemberita, di sini.

Mohd Shafie berkata kemasukan ahli UMNO ke dalam Warisan satu petanda baik menjelang pilihan raya kecil itu, namun beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak alpa atau cepat berpuas hati dengan perubahan tersebut.

Sebaliknya, beliau mahu jentera parti terus memperhebatkan strategi kempen untuk menambat hati pengundi Kimanis sekali gus memastikan kemenangan calon Warisan pada 18 Jan ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala hari pengundian awal pada 14 Jan.

— BERNAMA