Pilih Bahasa

Sokongan pemain industri O&G mampu kurangkan lambakan pengangguran belia

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Syarikat swasta disaran mewujudkan lebih banyak kerjasama pintar dengan sekolah, institusi pengajian tinggi dan pusat latihan di negeri ini bagi menarik minat golongan pelajar menceburi bidang kemahiran sejajar dengan perkembangan revolusi industri 4.0.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob berkata negara tidak akan kekurangan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan untuk mengisi pasaran kerja dalam industri 4.0 jika para pelajar dibekalkan dengan ilmu dalam bidang tertentu di peringkat awal lagi.

Dalam hal ini beliau berkata kerjasama itu ibarat serampang dua mata buat syarikat-syarikat swasta berkenaan kerana mereka bukan sahaja mudah mendapat pekerja malah, pekerja yang diambil juga memiliki kemahiran diperlukan.

Dr Yusof (empat dari kanan) bersama wakil Shell dan Kementerian Pelajaran yang hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) dan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan kursus Projek Latihan Industri Kimpalan (Link) di Kolej Vokasional Likas. – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

“Jika kita tidak guna tenaga kerja tempatan pada tahap maksimum, kita khuatir lebih banyak lambakan graduan dan belia menganggur pada masa akan datang kerana tidak mempunyai berkemahiran seperti diperlukan dalam industri tertentu.

“Jadi kita mempunyai cara untuk mengelakkan ‘mismatch’, maksudnya apa yang kita latih itu tidak diperlukan oleh industri. Salah satu caranya adalah kerjasama pemain industri dan sekolah, IPT dan pusat latihan.

“Sebenarnya kita tidak kekurangan tenaga kerja malah ramai yang mempunyai kelayakan, bayangkan setiap tahun lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dianggarkan seramai 50,000 hingga 60,000 orang,” katanya.

Dr Yusof berucap dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) dan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan kursus Projek Latihan Industri Kimpalan (Link) di Kolej Vokasional Likas. – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) dan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan kursus Projek Latihan Industri Kimpalan (Link) di Kolej Vokasional Likas di sini hari ini.

SSPC diwakili oleh Pengurus Besarnya, Prithipal Singh manakala Timbalan Pengarah Sektor Pemangunan PTV Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional, Zanariah Ahmad mewakili Kementerian Pendidikan.

Zanariah (tiga dari kanan) dan Prithipal bertukar dokumen MoU di antara Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) dan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan kursus Projek Latihan Industri Kimpalan (Link) di Kolej Vokasional Likas, sambil disaksikan oleh Dr Yusof (tengah). – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

Menerusi MoU itu SSPC menyumbang sebanyak RM90,000 bagi membiayai kos bahan pembelajaran, kulah dan peralatan untuk seramai 12 pelajar Kolej Vokasional Likas yang terpilih mengikuti projek Link mulai tahun ini.

Mengenai MoU itu Dr Yusof berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama kedua-dua pihak dan menyarankan lebih ramai pemain industri menyahut seruan kerajaan dalam pelaksanaan dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Dr Yusof (depan) melihat pameran inovasi yang dihasilkan oleh warga Kolej Vokasional Likas. – Gambar SNT/Insan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

Dalam pada itu Prithipal berkata Shell gembira dapat bekerjasama sekaligus menyumbang kepada pembangunan kurikulum program kimpalan bagi memenuhi standard dalam industri minyak dan gas khususnya di Sabah.

Katanya sejak 1989 kira-kira 1,000 pelajar kolej vokasional yang mengikut program Link diserap dalam pekerjaan industri minyak dan gas.

“Kita berharap menerusi perjanjian persefahaman ini kami dapat menyumbang kepada usaha kerajaan dalam melengkapkan para pelajar di negeri ini dengan kemahiran tertentu khususnya bidang industri minyak dan gas,” katanya. – SabahNewsToday