Pilih Bahasa

Sokongan penduduk Melalap mahu Warisan mentadbir semula dihargai: Peter

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TENOM: Penduduk di daerah ini khususnya di kawasan Melalap masih memerlukan kepimpinan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk sekali lagi diberikan mandat memerintah negeri ini.

Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony yakin rakyat Sabah memerlukan parti tempatan yang bukan sahaja mampu mentadbir dengan baik, malah dapat membuat keputusan mengikut acuan sendiri.

Peter berucap pada Program Santai dan Ramah Mesra bersama masyarakat Kampung Pulong, Tenom. – Gambar SNT/Ihsan Warisan

“Tidak pernah di dalam sejarah negeri Sabah kita mempunyai satu kerajaan yang tidak perlu mendengar Kuala Lumpur.. kalau dulu kita kena dengar, tapi kerajaan Warisan keputusan kita buat sendiri.

“Kalau ditanya apa kita punya kejayaan sedangkan kerajaan Warisan baharu dua tahun.

“Tapi dalam Sabah ini, Warisanlah yang buat kilang minyak di Sandakan, Lahad dan Keningau untuk membantu usahawan muda tempatan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Santai bersama penduduk kampung Jawa Sumbiling, Tenom di sini hari ini.

Beberapa pemimpin Warisan yang hadir menyertai Peter (tengah) melaungkan tanda sokongan kepada parti itu. – Gambar SNT/Ihsan Warisan

Dalam pada itu, Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri turut menerima kemasukan seramai 358 ahli baharu Warisan.

Daripada jumlah itu seramai 270 adalah bekas ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) dari empat buah cawangan di kawasan itu yang menyerahkan borang keahlian pada Program Santai dan Ramah Mesra bersama masyarakat Kampun Pulong, Tenom hari ini.

Peter berinteraksi bersama penduduk dalam Majlis Santai bersama penduduk di Kampung Jawa Sumbiling, Tenom. – Gambar SNT/Ihsan Warisan

Peter yang akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melalap berkata sambutan penduduk Tenom khususnya di Melalap terhadap Warisan amat memberangsangkan.

Menurut beliau, rata-rata yang hadir memberikan sokongan kepada Warisan untuk mentadbir semula Sabah selepas pilihan raya negeri ini.

Peter (kiri) menerima borang keahlian ahli baharu Warisan. – Gambar SNT/Ihsan Warisan

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, Dun Melalap menyaksikan saingan enam penjuru dengan kemunculan semula bekas wakil rakyat kawasan itu iaitu Datuk Rdin Malleh daripada Parti bersatu Sabah (PBS) untuk memenangi semula kerusi tersebut.

Turut bertanding ialah bekas Adun Kemabong, Jamawi Jaafar yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), Sazali Justi (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Masdin Tumas (Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Apiang Sausun (Parti Cinta Sabah (PCS). – SabahNewsToday