Pilih Bahasa

Sokongan penuh kepada calon PBS: Usno

KOTA KINABALU: Parti Usno memutuskan tidak bertanding dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Sandakan, sebaliknya memberi sokongan penuh kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketua Penerangan Musli Oli berkata keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Usno baru-baru ini.

Musli Oli. Gambar Fail SNT

“Keputusan ini dibuat atas dasar bahawa parti Usno menyokong kerjasama antara parti-parti politik pembangkang demi memastikan proses dan nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini terlaksana dalam erti kata sebenar.

“Majoriti AMT juga berpendapat bahawa parti Usno pada masa ini perlu memberi fokus pada usaha memperkemas dan memantapkan jentera pentadbiran parti di peringkat pusat serta menubuhkan bahagian-bahagian parti di seluruh Sabah.

“Kedua-dua langkah itu yang merupakan keutamaan Usno pada masa ini akan digerakkan secepat mungkin,” ujarnya.

Musli berkata untuk menjayakan matlamat itu parti Usno sedang merancang pelbagai program yang bakal diadakan bagi memperkenalkan parti secara lebih dekat kepada orang ramai.

Antara program yang akan diadakan termasuklah pameran sejarah perjuangan parti Usno yang dijangka berlangsung pada bulan Jun nanti.

Program yang dinamakan ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’ itu merupakan salah satu kaedah kempen menambah keahlian.

Beliau menambah ia akan membuka ruang seluas-luasnya kepada orang ramai untuk mengenali sejarah perjuangan parti Usno serta peranannya, bukan sahaja dalam membentuk gagasan Malaysia tetapi juga dalam membina asas-asas yang membolehkan Sabah mengecap kemajuan seperti sekarang.

Sementara itu, Musli berkata parti Usno akan menghantar sepasukan yang terdiri daripada anggota-anggota kepimpinan tertinggi parti untuk membantu PBS berkempen dalam PRK Sandakan.-SabahNewsToday