Pilih Bahasa

Speaker Dewan Rakyat tolak permohonan Shafie bentang usul undi percaya terhadap Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah menolak permohonan untuk membuat ketetapan bahawa Ahli Parlimen (MP) Langkawi dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan.

Mohamad Ariff berkata beliau tidak akan membenarkan pembentangan usul yang dimohon oleh MP Semporna dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerana ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembaan Persekutuan serta mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik perdana menteri.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof. Gambar Bernama

Kenyataan Speaker Dewan Rakyat itu terkandung dalam surat rasmi bertarikh 5 Mei sebagai balasan kepada permohonan Mohd Shafie yang dikemukakan melalui surat bertarikh 1 Mei. 

Surat berkenaan tular di media sosial hari ini.

Mohamad Ariff mengesahkan kandungan surat itu kepada Bernama.

Dewan Rakyat dijadual bersidang sehari pada 18 Mei ini.

Pada awalnya, Dewan Rakyat dijadual bersidang selama 15 hari bermula 18 Mei tetapi ditangguhkan pada 9 Mac lalu berikutan pertukaran kerajaan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri.

Kerajaan memutuskan bahawa Sidang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 tersebut dilangsungkan selama sehari susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Mohd Shafie telah memohon membawa usul tersebut selaras dengan Peraturan Mesyuarat 26 (1) dan 27 (3) dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ya, Ya, kita akan lihat nanti …tunggu lah bila sampai masanya,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai surat berkenaan selepas melawat Kilang Beras Terusan Sapi dekat Beluran di Sabah.

— BERNAMA