Pilih Bahasa

SPR hantar Kad Pengundi kepada 39,349 pengundi Sandakan


KOTA KINABALU: Inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 39,349 orang pengundi yang meliputi 270 orang pengundi awal dan 39,079 orang pengundi biasa di Sandakan akan diteruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Ini ialah untuk menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan, kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

SPR telah mula mengedarkan kad pengundi mulai 19 April 2019 kepada semua pengundi di Sandakan.

“Kad Pengundi tersebut mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

“Maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 7 Mei 2019 dan hari mengundi biasa pada 11 Mei 2019,” katanya.

Menurut Azhar, mereka yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

Bagaimanapun, SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi.

Bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan. Semakan boleh dibuat melalui portal SPR www.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR <jarak> SEMAK <jarak> NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.-SabahNewsToday