Pilih Bahasa

SPRM bukan alat untuk kepentingan politik

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua pihak berhenti memanipulasi serta menggunakan agensi itu sebagai bahan untuk mereka berpolitik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata sebagai sebuah agensi bertanggungjawab dalam pencegahan rasuah di negara ini SPRM perlu menjaga integritinya sebagai sebuah badan yang serius menjalankan tugas.

Mohd Shafie (tengah) bergambar kenangan bersama rombongan SPRM Pusat dan negeri yang diketuai oleh Latheefa di Pejabat Ketua Menteri. – Gambar SNT/Ihsan JKM

“Berhenti menggunakan SPRM sebagai alat berpolitik… sesiapa pun anda jika mempunyai aduan dan maklumat kemukakan dan SPRM akan menyiasat.

“Kita akan menyiasat adakah jika laporan atau aduan itu ada asasnya, aduan tidak bererti ia ada kes. Kadang-kadang ia hanyalah sekadar aduan. Dalam hal ini kita juga mahu mendidik masyarakat agar memahami keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Latheefa (kanan) semasa sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Ketua Menteri Sabah di PPNS. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Latheefa yang dalam lawatan rasmi ke Sabah berkata terdapat situasi apabila ada pihak yang menjadikan SPRM tempat mengadakan sidang media untuk menyatakan bahawa mereka telah membuat laporan ke atas individu lain di pejabat SPRM.

Sementara itu beliau menegaskan tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang melainkan aduan yang dibuat semata-mata bermotifkan politik atau tidak berasas.

“Jika pembangkang berasakan ada persepsi kita tidak lihat dalam kes mereka, mungkin mereka perlu meneliti semula cara mereka mengemukakan aduan tersebut.

“Adakah laporan yang mereka kemukakan itu lengkap atau ada bukti kukuh atau mereka hanya membuat kenyataan ini di khalayak ramai dan di media,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pembangkang di negeri ini yang meminta mana-mana individu termasuk yang memihak kerajaan agar tidak terlepas daripada siasatan SPRM.

Dalam pada itu beliau tidak menafikan bahawa kes-kes berprofil tinggi di Sabah wujud namun hanya akan memaklumkannya sebaik sahaja SPRM telah bersedia. – SabahNewsToday