Pilih Bahasa

SPRM tahan Penolong pegawai kesihatan, salah guna kedudukan peroleh projek bernilai RM30,000

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penolong pegawai kesihatan hari ini kerana disyaki menggunakan kedudukannya bagi memperoleh projek bernilai hampir RM30,000.

Difahamkan, lelaki berusia 40 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Sabah, kira-kira pukul 10 pagi selepas hadir memberi keterangan, hari ini.

Menurut sumber, suspek telah mendapatkan projek bagi kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan bagi Pejabat Kesihatan di sebuah daerah di Sabah melalui syarikat miliknya sendiri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya. – SabahNewsToday