Pilih Bahasa

Srikandi Bersatu bantu calon Warisan hingga ke saat akhir kempen

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Arifin (tiga dari kiri) dan Rina (tengah) bersama jentera Srikandi Bersatu dalam kempen PRK Parlimen Kimanis. – Gambar SNT/Ihsan Sikandi Bersatu Sabah

MEMBAKUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memuji kesungguhan gerak kerja jentera Srikandinya yang berkampung di Kimanis bagi membantu perjalanan kempen calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis kali ini.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata ahli parti itu khususnya Srikandi membuktikan kesungguhan dan setiakawan semasa berkempen membantu calon Warisan, Datuk Karim Bujang walaupun berlainan parti.

“Srikandi sentiasa menggandakan usaha terutama di saat akhir dan tugas-tugas gerak kerja ini saya yakin adalah dilakukan sebaiknya dan bukan sekadar itu, Srikandi juga menjalankan tugas dalam menyampaikan dasar yang telah dijalankan oleh kerajaan dan maklumat lain kepada para pengundi.

“Kita bekerja dalam satu pasukan dan bekerja keras walaupun berlainan parti, namun kita adalah satu kalau dikira hampir 800 Srikandi kita terlibat dan saya amat yakin peranan wanita itu amat besar bukan sekadar mengurus rumah tangga tapi juga menjadi penentu kepada arah tuju pentadbiran,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pejabat Bersatu Kimanis di sini, semalam.

RIna (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Srikandi Bersatu Sabah yang disampaikan oleh Arifin. – Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu Sabah

Kehadiran Rina disambut Ketua Penaja Bersatu Bahagian Kimanis Datuk Arifin Mohd Arif.

Dalam ucapannya, Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan itu turut memuji usaha dan kesungguhan ahli Srikandi Bersatu Sabah yang telah berkampung sejak tiga minggu lalu bagi memastikan gerak kerja kempen PRK Parlimen Kimanis berjalan lancar.

“Selain saya berasa amat berbesar hati dengan usaha Srikandi semua yang amat saya sayang, saya juga ingin menuntut ilmu dan berguru dengan YB kita di sini, Datuk Arifin Mohd Arif.

“Saya mendengar dan mengetahui banyak perkara yang baik-baik tentang beliau dan ternyata beliau sememangnya pemimpin yang amat disayangi oleh rakyat kerana sifat keprihatinan dan cinta beliau kepada rakyat di kawasan ini,” katanya. – SabahNewsToday