Pilih Bahasa

Srikandi pergiat program turun padang dekati rakyat: Azizah

Si anak kecil begitu teruja menerima kunjungan Azizah (kanan) ke rumah mereka di di Kampung Selagon Bukit Beaufort. – Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu Sabah

BEAUFORT: Ahli Srikandi Bersatu Sabah diminta mempergiatkan penglibatan mereka dalam program sentuhan kasih melalui ‘turun padang’ mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata pendekatan turun padang tidak hanya untuk mengetahui, memahami serta menyelesaikan masalah dihadapi penduduk akar umbi, malah dijadikan platform mendaftar ahli baharu.

“Setiap kali ada program peringkat bahagian dan cawangan, Srikandi akan turun padang bukan hanya untuk mendaftar ahli baharu tetapi mendekati rakyat khususnya di luar bandar.

“Ini adalah rutin kita di Srikandi kerana berasakan apabila ada program atau majlis, itulah masa terbaik untuk memberi perkhidmatan kepada akar umbi secara turun padang dan cara ini ternyata berkesan,” ujarnya ketika ditemui selepas Program Sentuhan Kasih di Kampung Selagon Bukit Beaufort, di sini semalam.

Dalam program itu Azizah telah melawat balu dan ibu tunggal, Mashusah Matsin, 41, yang bekerja hanya menjual kuih muih siang hari bagi menyara empat anaknya yang masih bersekolah.

Menurut Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort matlamat Bersatu dan Srikandi ialah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Tegasnya melalui program turun padang lebih kerap turun padang dapat menangani masalah rakyat di kawasan masing-masing.

“Amalan sedemikian memberi kesan positif sekali gus menaikkan imej kerajaan dan pemimpin di kalangan rakyat. Masalah rakyat seperti kemiskinan atau pembangunan setempat dapat diatasi sekiranya pendekatan sedemikian digunakan.

“Lebih cepat kita dapat mengatasi masalah rakyat maka lebih mudah kerajaan dapat melaksanakan pembangunan secara efisien. Gunakanlah pendekatan yang disukai rakyat, supaya mereka sentiasa menyokong kita dan sekaligus akan menjadikan Srikandi dan Bersatu sentiasa di hati mereka,” katanya. – SabahNewsToday