Pilih Bahasa

SRS PERLU JADI MATA DAN TELINGA PIHAK BERKUASA: EWON

Oleh Alfred Petrus

Ewon (tengah) bergambar bersama anggota Rela yang menyertai Program Jom Ronda Bersama SRS. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Skim Rondaan Sukarela (SRS) perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat dan mengenal pasti sesuatu yang cenderung berlaku aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata Kota Belud mempunyai SRS terbanyak iaitu 27 daripada 352 SRS yang ditubuhkan di seluruh Sabah.

“Program Jom Ronda Bersama SRS ini amat penting untuk menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian di setiap kawasan perumahan termasuk perkampungan luar bandar.

“Saya menghadiri program ini untuk menyatakan sokongan saya kepada pasukan keselamatan dan SRS bahawa tugas berkaitan memelihara dan menjaga keselamatan serta keharmonian komuniti tidak harus diletakkan 100 peratus kepada pasukan keselamatan, tetapi ia tanggungjawab bersama sebagai satu komuniti,” katanya.

Ewon (tengah) turut menyertai rondaan bersama anggota keselamatan dan SRS. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Jom Ronda Bersama SRS Peringkat Daerah Kota Belud yang disertai kira-kira 150 orang termasuk 27 SRS Kota Belud, anggota Polis dan Rela di perkarangan Masjid Jamek Kampung Sembirai Usukan di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap program seumpama itu dapat diteruskan untuk kebaikan dan kesejahteraan masyarakat kampung.

Beliau berkata ini kerana Program Jom Ronda Bersama SRS dapat membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan dan gejala sosial di kawasan setempat.

Sementara itu, Penolong Pegawai Unit Keselamatan Komuniti, Mohd Shazliansah Wun Sang Mohd Gazali berkata Program Jom Ronda Bersama SRS merupakan Program Outcome Based Budget (OBB) Jabatan Perpaduan Negara di bawah aspek keselamatan dan memperkasakan kawasan Rukun Tetangga dan SRS disamping mengeratkan hubungan SRS bersama agensi-agensi kerajaan.

“Daerah Kota Belud antara daerah yang terpilih daripada 11 daerah seluruh Sabah untuk melaksanakan program ini.

“Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan Skim Rondaan Sukarela kepada masyarakat daerah Kota Belud,” katanya.

Mohd Shazliansah berkata SRS diwujudkan untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala komuniti setempat seterusnya meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, Jabatan Perpaduan mengalu-alukan kawasan Rukun Tetangga yang ingin menubuhkan SRS untuk menghantar permohonan ke pejabat Perpaduan daerah Kota Belud. – SabahNewsToday