Pilih Bahasa

St Franciscan Tamparuli dapat dana bantuan RM50,000

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Projek pembinaan Asrama Perempuan St Franciscan Sisters Kg Bantayan Tamparuli menerima suntikan dana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew sejumlah RM50,000.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata dana berkenaan diperuntukkan adalah untuk membantu mempercepatkan kerja-kerja penyiapan asrama berkenaan yang sepatutnya siap pada Disember tahun lalu.

Christina (empat kanan) merakamkan gambar kenangan bersama NGO yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya. Gambar SNT/Ihsan Kepkas

Katanya projek pembinaan asrama berkenaan yang berjumlah RM2.255 juta telahpun siap kira-kira 97 peratus setakat 4 April tahun ini di atas inisiatif komuniti oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

“Walaupun banyak aktiviti amal pengumpulan dana projek berkenaan, namun masih terdapat kekurangan sejumlah RM161,383.24.

“Melalui dana Adun saya ini, saya harap tidak ada lagi penangguhan. Dapatkan kontraktor untuk menyelesaikan projek ini secepat mungkin supaya pelajar-pelajar perempuan St Franciscan Sisters dapat menikmati asrama yang lebih selesa ini.

Asrama Perempuan St Franciscan Tamparuli yang dikatakan siap 97 peratus. Gambar SNT/Ihsan Kepkas

“Asrama ini akan diserahkan kepada pihak pengurusan St Franciscan Sisters apabila siap sepenuhnya kelak,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada kedua-dua NGO berkenaan di Wisma Tun Fuad Stephans, hari ini.

Beliau juga menekankan bahawa akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan bantuan tambahan untuk menampung kos pembinaan asrama terbabit. -SabahNewsToday