Pilih Bahasa

STAR SABAH TAMBAH KEAHLIAN MAJLIS TERTINGGI, UBAH SIMBOL PARTI

Oleh Alfred Petrus

Datuk Dr Jeffrey Kitingan. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Presiden Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) hari ini memberi ruang kepada wakil-wakil rakyat yang dijangka menyertai parti tersebut dengan menambah jumlah ahli majlis tertingginya daripada 29 kepada 39.

Presiden Star Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata penambahan tersebut dilakukan selepas majlis tertinggi Star Sabah sebulat suara meminda perlembagaan dengan sokongan perwakilan dari semua 25 bahagian dalam mesyuarat agung tergempar di Dewan Sokid Villa hari ini.

Beliau percaya besar kemungkinan dalam bulan ini jumlah ADUN Star Sabah akan bertambah kepada empat hingga lima orang.

Ini termasuk ADUN Nabawan Datuk Bobbey Suan yang secara rasmi meninggalkan Upko serta Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Ellron Angin, dakwa Dr Jeffrey.

“Suatu hari nanti, parti kita boleh menguasai kerajaan negeri Sabah. Maka antara perubahan yang kita buat adalah menambah Ahli Majlis Tertinggi.

“Ini juga memerlukan perubahan di peringkat bawah dan bahagian-bahagian cawangan supaya lebih ramai lagi yang boleh menyertai parti kita,” katanya.

Turut dipersetujui dalam mesyuarat agung tergempar tersebut adalah penukaran bendera dan logo Star Sabah.

Bendera Star Sabah sekarang (kiri) dan Bendera Star Sabah baharu (kanan). Gambar SNT/Alfred Petrus

Tambahnya Star Sabah kini antara parti yang kuat walaupun dianggap kecil kerana hanya mempunyai dua kerusi DUN dan satu Parlimen.

Namun, Star Sabah menjadi lebih kukuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, katanya, sambil menambah ia berikutan permohonan keahlian semakin bertambah dari seluruh negeri.

“Ini adalah satu perkembangan yang baik dan juga ramai ahli-ahli parti politik di Sabah termasuk pemimpin mereka telah berjumpa dengan saya untuk memberi tahu hasrat mereka menyertai STAR Sabah termasuk daripada komponen Gabungan Bersatu Sabah (GBS) sendiri.

“Begitu juga dengan penyertaan daripada kaum Cina yang mana ramai pemimpin-pemimpin mereka sedar dan sudah membuka jalan untuk menyertai kita.

“Dulu kerana kita tidak buka jalan, sekarang kita buka jalan sebab atas perkembangan serta perubahan politik dari segi kepimpinan dan sebagainya telah memberikan mereka satu pandagan yang lebih luas termasuk keyakinan yang lebih kukuh untuk memastikan untuk mereka menyertai kita,” katanya.

Dr Jeffrey berkata Star Sabah akan terus berjuang untuk Sabah.

“Di dalam media-media sosial kitalah yang paling lantang sekali. Tetapi, ia mempunyai kebaikan dan risikonya yang mana kita menghadapai pelbagai ancaman, tuduhan dan sebagainya.

“Tetapi kita sudah biasa, dari dulu sampai sekarang kita tidak gentar walau apapun kerana kita berjuang untuk Sabah,” katanya. -SabahNewsToday