Pilih Bahasa

Star Sabah tidak akan bertanding PRK Sandakan: Dr Jeffrey

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanahairku (Star) Sabah tidak akan bertanding dalam Pilihanraya Kecil Sandakan pada 11 Mei ini.

Ini disahkan oleh Presiden Star Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini sambil berkata ini adalah untuk membuka jalan kepada rakan pembangkang Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk bertanding dalam PRK tersebut.

Dr Jeffrey Kitingan. Gambar Fail SNT

Beliau berkata keputusan dibuat setelah beberapa siri perbincangan dengan parti-parti dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS) termasuk Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ketua Bahagian Tanjung Papat Star Sabah, Liew Wean Chee yang telah diumumkan sebagai calon Star telahpun diberitahu mengenai keputusan tersebut dan menerimanya, kata Dr Jeffrey.

Pencalonan Liew telah diumumkan oleh setiausaha agung Star Sabah, Guandee Kohoi baru-baru ini.

Dr Jeffrey berkata Star Sabah akan membantu PBS dalam kempen PRK Sandakan.

Dr Maximus telah mengumumkan bahawa PBS akan mengambil tanggungjawab dalam PRK Sandakan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong dari DAP akibat serangan sakit jantung pada 28 Mac.

Tarikh Penamaan Calon PRK Sandakan telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada 27 April dan hari pengundian pada 11 Mei.

Terdapat 39,777 pengundi berdaftar di Sandakan iaitu 49 peratus kaum Cina, 44 peratus Bumiputera Islam dan selebihnyan Bumiputera bukan Islam.-SabahNewsToday