Pilih Bahasa

Stor penyimpanan peralatan milik Jabatan Pertanian Sandakan musnah terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan stor penyimpanan peralatan milik Jabatan Pertanian Sandakan. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

SANDAKAN: Sebuah stor penyimpanan peralatan milik Jabatan Pertanian Sandakan musnah dalam kebakaran di Stesen Pertanian Gum-Gum depan Fung Ming, Batu 16, di sini petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 2.10 petang itu, keseluruhan stor penyimpanan jenis tidak kekal musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata dua jentera, sebuah lori tangki dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 12 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 2.14 petang.

Stor penyimpanan peralatan milik Jabatan Pertanian Sandakan musnah terbakar. – gambar SNT/Ihsan Bomba

“Sebaik tiba, hampir keseluruhan struktur stor penyimpanan itu musnah dalam kebakaran dan api dapat dikawal pada 2.40 petang.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan manakala kebakaran berjaya 

dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 2.59 petang. – SabahNewsToday