Pilih Bahasa

Suami isteri ditahan miliki ikan ditangkap guna bom

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KUDAT: Sebanyak 120 kilogram ikan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,200 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini menerusi Ops Landai Khas, semalam.

Dalam operasi sekitar jam 2.40 petang itu, semua ikan berkenaan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

Anggota PPM memeriksa kenderaan milik pasangan tersebut. Gambar SNT/Ihsan PPM Kudat

Komendar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata menerusi operasi itu, pihaknya turut menahan pasangan suami isteri masing-masing berumur 64 dan 43 tahun dipercayai pemilik semua ikan terbabit.

“Kita menahan mereka di kawasan Jalan Tinangol Indarason Matunggong selepas polis berjaya mengesan sebuah kenderaan  jenis Perodua Rusa yang dipandu oleh suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan, kita menjumpai ikan-ikan ini yang disyaki ditangkap menggunakan bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan media, dekat sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat dengan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan diperairan negeri malahan bakal memastikan pihak terbabit dijatuhkan hukuman setimpal agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam pada itu, beliau berkata turut dirampas, kenderaan milik suspek, dua buah tong ikan serta sebuah alat penimbang ikan dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,700.

Semua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat dan akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kudat untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri menegaskan menegaskan dan memberi peringatan kepada semua pihak khususnya golongan nelayan agar menghentikan aktiviti pengeboman ikan sebelum tindakan berat dikenakan kepada mereka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan memiliki ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan. -SabahNews Today