Pilih Bahasa

SUAMI ISTERI DITANGKAP, EDAR DADAH BERNILAI RM108,000 BAGI PASARAN LABUAN

Oleh Alfred Petrus

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Labuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri warga tempatan ditangkap dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah di Wilayah Persekutuan Labuan pada Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata melalui tangkapan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan turut merampas 2.137 kilogram dadah jenis syabu yang dibawa bersama suspek berkenaan.

“Polis telah melihat sepasang suami isteri sedang berjalan di laluan pejalan kaki berhampiran gerai buah-buahan kawasan pasar lama Wilayah Persekutuan Labuan.

“Suspek lelaki sedang membimbit dua beg kain berwarna ungu. Polis menahan pasangan tersebut untuk pemeriksaan. Ketika pemeriksaan dibuat, suspek hanya mendiamkan diri.

“Hasil daripada pemeriksaan dalam beg kain tersebut, terdapat beberapa bungkusan minuman segera dan setiap bungkusan terdapat bungkusan hitam lain yang di dalamnya mengandungi paket-paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.

Katanya jumlah keseluruhan paket plastik yang berjaya dirampas adalah sebanyak 42 paket dengan anggaran berat 2,137.78 gram dengan anggaran nilai pasaran bernilai RM108,000.

Hasil daripada soal siasat, Omar berkata kedua-dua suspek yang berumur 20-an mendedahkan bahawa dadah tersebut adalah untuk tujuan pasaran tempatan di Labuan yang dibawa masuk dari Kota Kinabalu menggunakan bot laju.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan berdasarkan risikan JSJN mendapati tangkapan ini mempunyai rangkaian sindiket yang sedang dijejaki JSJN Sabah.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari tangkapan sehingga 12 Februari untuk siasatan lanjut.

“Kes ini kita siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. -SabahNewsToday