Pilih Bahasa

Suami isteri maut kemalangan – Viva bertembung Hilux

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pasangan suami isteri maut ketika dalam perjalanan memperbaharui pas lawatan, di Kilometer 50, Jalan Tawau-Kunak, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa Salih Amie, 53 yang memandu kenderaan jenis Perodua Viva dan isteri Sarru Apay, 54, dipercayai maut di lokasi kejadian.

Kenderaan Perodua Viva yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk akibat impak pertembungan. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kunak untuk memperbaharui pas lawatan mereka.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan mereka secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat mangsa secara tiba-tiba memasuki lorong bertentangan.

Toyota Hilux tersadai di tepi jalan selepas bertembung dengan Perodua Viva di KM50 Jalan Tawau-Kunak. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Mangsa dibawa ke Hospital Besar Tawau dan difahamkan akan dibedah siasat esok.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai,” katanya. – SabahNewsToday