Pilih Bahasa

SUAMI MAUT DALAM PERJALANAN MENGAMBIL ISTERI

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Niat suami dalam perjalanan mengambil isterinya di Pasar Besar Tawau tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya, di pusingan U, Batu 8, Jalan Apas, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, mangsa, Abdul Rahman Yupang, 65, maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan tersebut di Batu 8, Jalan Apas hari ini. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Katanya ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dari Batu 15 Jalan Apas itu dipercayai merempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Carina yang membuat pusingan U secara tiba-tiba.

“Akibat kecuaian pemandu yang membuat pusingan U di lokasi kejadian tanpa memastikan keadaan jalan selamat, mangsa tidak dapat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan kenderaan terbabit.

“Mangsa kemudian tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa, 65, tidak dapat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan kenderaan jenis Toyota Carina. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Bagaimanapun, katanya mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tawau pada jam10.30 pagi, akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Fadil berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SabahNewsToday