Pilih Bahasa

SUARA ANJUR JOM SANTAI BOLA SEMPENA FINAL PIALA SUZUKI

PUTATAN: Pertubuhan Suara Anak Muda Sabah (SUARA) meminta lebih banyak sokongan daripada semua pihak terutamanya golongan belia untuk terlibat dengan pelbagai program berbentuk komuniti di daerah ini.

Helmi Shahril Ag Kassim. Gambar Fail SNT

Pengerusinya, Helmi Shahril Ag Kassim berkata ianya bertujuan dalam menjayakan hasrat kerajaan yang menginginkan golongan itu lebih terdedah dengan kegiatan sihat dan berfaedah, sekaligus menangani gejala negatif daripada terus menular di peringkat akar umbi.

Beliau berkata signifikan kerajaan yang efisyen mengangkat belia sebagai pelapis pemimpin negara perlu mendapat sokongan secara menyeluruh dan ini ditambah dengan kerancakan penganjuran pelbagai program oleh kementerian-kementerian berkaitan.

“Kita menyeru supaya golongan belia terutamanya di Putatan ini untuk aktif terlibat sama dengan pelbagai aktiviti berbentuk komuniti yang dianjurkan oleh kerajaan.

“Ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu golongan belia kita aktif dalam kegiatan sihat seperti sukan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain supaya gejala sosial boleh dibendung di peringkat akar umbi lagi,” katanya, dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Helmi berkata SUARA melalui kerjasama dengan syarikat Teguh Everest Sdn Bhd akan menganjurkan program JOM Santai Bola di Restoran Zaitoon Royal Plaza Putatan, pada jam 8 malam esok (15 Disember) .

Program berkenaan adalah aktiviti santai bagi menyaksikan perlawanan final timbal balik piala AFF Suzuki di antara pasukan kebangsaan Malaysia dan Vietnam.

Upacara dijangka akan dirasmikan oleh Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap ADUN N 18 Petagas; Datuk Uda Sulai.

Seramai 100 hadirin menghadiri program santai berkenaan pada final pertama di antara kedua-dua pasukan yang berlansung di Restoran Zaitoon Royal Plaza Putatan, pada 12 Disember lalu.-SabahNewsToday