Pilih Bahasa

SUASANA TAHUN BAHARU CINA MERIAH DI SEMPORNA

Mohd Shafie bersama pemimpin-pemimpin Parti Warisan Sabah singgah di kedai kopi Cham Chuan Kee. Gambar SNT/Ehsan JKM

SEMPORNA, 7 Feb (Bernama) — Suasana sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Daerah Semporna sangat meriah dan positif, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie hari ini sempat meluangkan masa bersama jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Semporna mengadakan kunjungan mesra ke premis-premis perniagaan di Pekan Semporna dan menyerahkan sumbangan limau mandarin.

Mohd Shafie bertemu dengan orang ramai semasa membuat kunjungan mesra sempena perayaan Tahun Baharu Cina di pekan Semporna hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

Antara premis perniagaan yang dikunjungi beliau termasuk Kedai Aiskrim Yee Sing yang sudah beroperasi lebih 50 tahun lalu dan terkenal dalam kalangan penduduk Semporna dengan makanan popular termasuk roti kawin.

Dalam pada itu, Shafie ketika ditemui pemberita berkata sambutan perayaan kali ini menunjukkan hubungan rapat pelbagai kaum yang ketara, dan itu adalah petanda baik ke arah perpaduan rakyat sekali gus membantu menyuburkan ekonomi negeri.

Mohd Shafie menyampaikan limau sempena perayaan Tahun Baharu Cina kepada pekedai di pekan Semporna hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

“Hubungan baik ini perlu diteruskan dan diserap dalam kalangan generasi muda agar mereka saling memahami kepelbagaian budaya yang ada di negeri kita,” katanya lagi.

Selain kunjungan mesra ke premis perniagaan di Pekan Semporna, Mohd Shafie turut sama melawat kediaman masyarakat Cina di daerah ini.

— BERNAMA