Pilih Bahasa

Subsidi baja padi dijangka diagihkan dalam jangka masa terdekat

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Daud (tengah) bersama barisan selebriti dan pengunjung pada majlis perasmian Star Vendors-Sabah Mega Festival 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pemberian subsidi baja padi kepada pesawah di negeri ini akan diagihkan dalam masa terdekat.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Dr Daud Yusof berkata tender daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sudah dibuat bulan lalu dan kini proses berkaitan masih berjalan.

“Segala proses dijangkakan selesai dalam tempoh sebulan dua ini dan selepas itu kita boleh agihkan subsidi kepada pesawah.

“Sebenarnya kita giat melakukan rundingan bersama kerajaan persekutuan bagi pemberian subsidi padi untuk pesawah di negeri ini.

“Pemberian subsidi memang ada namun sementara ini ia hanya bagi tanaman padi bukit saja,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Star Vendors-Sabah Mega Festival 2019 di Sabah Trade Centre, di sini hari ini.

Daud (dua dari kanan) dan Ifa (tiga dari kanan) ketika berada di gerai jualan milik penyanyi Zizi Kirana (kanan) sempena Star Vendors-Sabah Mega Festival 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berkaitan subsidi baja padi yang belum diterima daripada Nafas kepada pesawah di Sabah.

Yang turut hadir Timbalan Yang Di pertua Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS),

Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Ifa Raziah.

Dalam pada itu, Daud berkata beliau mengakui subsidi berkenaan memang ditarik sementara waktu bagaimanapun usaha bagi memperoleh semula peruntukan terbabit sedang dilakukan kerajaan negeri.

Daud (empat dari kanan) dan Ifa (kanan) ketika berada disalah sebuah gerai jualan sempena Star Vendors-Sabah Mega Festival 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Kita hanya tinggal membuat perbincangan untuk pengagihan kepada pesawah.

“Semoga pemberian subsidi ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin agar dapat meringankan beban pesawah di negeri ini,” katanya. – SabahNews Today