Pilih Bahasa

SUDAH TIGA KALI DI TAHAN, MASIH TIADA JALAN HENTI KETAGIHAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KUNAK: Mengaku sudah kali ketiga ditahan dan masih tidak ada jalan untuk berhenti ketagih syabu.

Itu reaksi dua bersaudara selepas ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tawau, awal pagi tadi.

Pihak AADK menjalankan pemeriksaan di dalam bilik dan menemui alat-alat menghisap syabu. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Dua lelaki itu antara 13 individu berusia 23 hingga 49 tahun yang ditahan dalam Ops Cegah bermula pukul 12.30 pagi, di empat lokasi berasingan, sekitar daerah ini.

Ketika serbuan dibuat, lelaki berusia 38 tahun dan bapa saudaranya berusia 48 tahun berada di ruang tamu bersama ahli keluarga yang lain.

Pihak AADK kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati terdapat alat menghisap syabu di dalam bilik bapa saudaranya.

Penagih enggan memberi kerjasama dan enggan membuka pintu rumah ketika pihak AADK menjalankan tugas akhirnya ditahan. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Salah seorang daripada dua bersaudara terbabit memberitahu tidak ada jalan lain untuk berhenti ketagih dadah.

“Kami sudah cuba berhenti, tapi susah untuk kami tinggalkan. Inipun sudah kali ketiga saya ditahan dan tidak tahu macam mana hidup saya selepas kena tahan ini. Sudahlah saya tidak bekerja.

“Saya dan bapa saudara saya baru kelmarin sahaja hisap syabu. Hari ini kami tidak ada ambil barang itu.

“Alat-alat yang AADK temui tadi di bilik bukan saya yang punya, tapi kawan-kawan saya ramai datang sini hisap syabu dan simpan saja di bilik,” katanya.

Sementara itu, AADK kemudian menjalankan serbuan di sebuah rumah yang juga dipercayai lokasi penagihan dadah.

Hasil serbuan itu, empat lelaki berada di rumah terbabit sedang leka meminum arak sambil menonton perlawanan bola.

AADK menyerbu di salah sebuah rumah dan menahan empat lelaki yang sedang leka minum arak. Hasil ujian air kencing, keempat-empat turut positif dadah jenis methampethamine. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Semua mereka kemudian ditahan untuk menjalankan ujian saringan air kencing.

Operasi yang berakhir pukul 5 pagi itu disertai sembilan anggota AADK Daerah Tawau dan enam Team Alpha Strike AADK Sabah.

Ketua AADK Tawau, Abd Gani Keruput berkata hasil ujian saringan air kencing, semua yang ditahan positif dadah jenis methampethamine.

“Semua yang ditahan dibawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 dan akan direman esok (hari ini) untuk proses perundangan seterusnya.

Antara penagih yang ditahan dalam Ops Cegah, awal pagi tadi. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kita akan menjalankan operasi ini secara berterusan untuk membantu memulihkan penagih yang terlibat dalam penagihan dadah,” katanya.-SabahNewsToday