Pilih Bahasa

Suhakam bantu kerajaan Sabah cari penyelesaian pragmatik isu dokumentasi, kewarganegaraan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bersedia membantu kerajaan Sabah mencari penyelesaian pragmatik terhadap isu-isu berkaitan dokumentasi dan kewarganegaraan di negeri ini.

Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata cadangan itu mendapat sokongan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menggalakkan Suhakam mencari idea dan bekerjasama dengan agensi Persekutuan mencari penyelesaian kedua-dua isu tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima cenderahati daripada Pesuruhjaya SUHAKAM Jerald Joseph selepas menerima kunjungan hormat SUHAKAM di pejabat Ketua Menteri di bangunan DUN Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tugas Suhakam adalah menasihati Kerajaan Persekutuan dan negeri mengenai polisi dan undang-undang negara. Kalau kita tidak bekerjasama dengan Ketua Menteri, siapa lagi, justeru penting untuk beliau (Ketua Menteri) bersama-sama dengan Suhakam ke arah merealisasikan penyelesaian berkaitan hak asasi manusia.

“Kami telah memulakan kerjasama ini dalam pertemuan yang sangat bermakna hari ini dan beliau (Mohd Shafie) bersetuju bekerjasama dengan Suhakam,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohd Shafie di Pejabat Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Jerald yang mengetuai rombongan Suhakam mengadakan pertemuan itu bagi membincangkan isu-isu hak asasi manusia dan mewujudkan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian masalah dokumentasi dan kewarganegaraan.

Pesuruhjaya SUHAKAM Jerald Joseph pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat keatas Ketua Menteri di pejabat Ketua Menteri di bangunan DUN Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Katanya dalam pertemuan singkat itu Suhakam turut membentangkan Laporan Tahunan Suhakam 2018 kepada Mohd Shafie.

Menurutnya Suhakan menerima sebanyak 1,200 aduan pada tahun lalu dan daripada jumlah itu 500 aduan adalah dari Sabah dengan 80 peratus kes membabitkan isu dokumentasi dan isu tanah.

“Suhakam Kota Kinabalu menerima kira-kira 50 kes hampir setiap bulan dan 40 kes adalah berkaitan dokumentasi. Ini bermakna 80 peratus kes Suhakam melibatkan individu yang tidak tahu penyelesaian dokumentasi atau apa yang perlu dilakukan.

“Masalah paling ketara akibat ketiadaan dokumentasi ini ialah kanak-kanak tidak boleh pergi ke sekolah kerana ibu bapa tidak berkahwin atau kerana pendaftaran lewat.

“Dalam hal ini Ketua Menteri mencadangkan keperluan untuk meminda undang-undang Persekutuan (undang-undang Imigresen) untuk memudahkan dan membantu menyelesaikan mereka yang menghadapi masalah dokumentasi,” katanya.

Ditanya berhubung kadar penyelesaian kes dalam setahun, Jerald berkata suruhanjaya itu merekodkan 50 peratus kes di peringkat nasional manakala Sabah mencatatkan kira-kira 30 peratus kes yang diselesaikan.

Menurutnya berbanding kes melibatkan masalah tanah, isu dokumentasi merupakan kes yang paling sukar dan sehingga kini pihaknya masih belum dapat mencari formula penyelesaian sepenuhnya. – SabahNewsToday