Pilih Bahasa

Sukan perahu layar mampu kukuhkan sektor pelancongan sukan Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Penganjuran pertandingan sukan perahu layar mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong luar sekaligus mengukuhkan pelancongan sukan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata sukan seumpama itu adalah salah satu cabang sukan bertaraf antarabangsa yang memiliki ramai penggemarnya termasuklah di luar negara.

Christina (tengah) bersama peserta yang menyertai pertandingan sempena Festival Regatta Terbuka Sabah 2019 dan Pesta Menuai Kelab Pelayaran Kinabalu (KYC) ke 33. -Gambar SNT/ Adam Arinin

“Setakat ini, saya lihat ramai pelancong asing yang datang ke negeri ini semata-mata mahu mencuba aktiviti layar ini di sini.

“Ia menunjukkan kita mempunyai laut yang sesuai dengan sukan berkenaan dan satu kelebihan untuk Sabah terus membangunkan sukan perahu layar.

Christina (kiri) menyampaikan piala dan pingat sempena Festival Regatta Terbuka Sabah 2019 dan Pesta Menuai Kelab Pelayaran Kinabalu (KYC) ke 33 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Adam Arinin

“Dengan adanya pelbagai pertandingan membabitkan sukan layar di Sabah, ia bakal mengukuhkan lagi negeri ini sebagai lokasi pilihan bagi aktiviti ini pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Regatta Terbuka Sabah 2019 dan Pesta Menuai Kelab Pelayaran Kinabalu (KYC) ke 33, di sini, baru-baru ini.

Christina bergambar dengan salah seorang pemenang selepas menyampaikan pingat sempena Festival Regatta Terbuka Sabah 2019 dan Pesta Menuai Kelab Pelayaran Kinabalu (KYC) ke 33. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bertempat di KYC Tanjung Aru, acara disertai oleh kira-kira 100 peserta daripada pelbagai kelab pelayaran.

Berlangsung pada 22 dan 23 Jun, lebih 20 kategori dipertandingkan termasuklah maraton, mini marathon, optimist class dan dinghy class.

Sementara itu, Christina berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong semua acara mendatang positiviti kepada negeri terutamanya pelancongan.

Beliau berkata KYC bukan sahaja suatu kelab pelayaran terkenal tetapi sudah melahirkan ramai pelajaran berpengalaman seawal usia peringkat sekolah rendah.

Sementara itu, beliau juga menggalakkan semua kelab pelayaran di Sabah agar menganjurkan program atau acara membabitkan sukan layar dalam usaha memperkenalkan lagi sukan terbabit di negeri berkenaan. -SabahNews Today