Pilih Bahasa

Sukan tahunan SK Sri Gaya penanda aras semangat kesukanan murid

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya Kali Ke-20 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Kompleks Sukan Likas, di sini.

Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Murid (PIBG) SK Sri Gaya Muhammad Arif Tun Sakaran berkata temasya sukan sekolah yang diadakan pada setiap tahun adalah untuk membina semangat kesukanan dikalangan murid sekolah.

Atlet dan guru dari rumah sukan Laksamana merakamkan gambar selepas dinobatkan juara keseluruhan kejohanan olahraga SK Sri Gaya di Kompleks Sukan Likas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Temasya seperti ini bukan hanya sekadar satu temasya bagi mengukur kemampuan anak-anak kita bertanding dalam acara-acara sukan tetapi temasya ini juga membina keyakinan diri.

“Sukan sekolah ini adalah salah satu daripada usaha sekolah dalam memastikan akses pendidikan yang berkualiti untuk setiap murid berupaya memberi kesan berganda dalam bidang pembelajaran. Ini secara tidak langsung dapat melonjakkan pencapaian murid-murid dalam bidang pembelajaran khasnya,” katanya ketika ditemubual oleh SabahNewsToday selepas merasmikan kejohanan sukan sekolah itu di sini, hari ini.

Aksi acara balapan lari berpagar 80 meter pada kejohanan olahraga SK Sri Gaya di Kompleks Sukan Likas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Muhammad Arif, memiliki badan yang sihat dan otak cerdas boleh dikaitkan dengan aktiviti- aktiviti jasmani yang diadakan di sekolah.

“Elemen ini sangat dititik beratkan oleh pihak sekolah bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelektual dan rohani. Inilah modal insan yang bersifat holistik yang bakal kita lahirkan pada hari ini dan juga pada masa akan datang,” jelasnya.

Semangat kesukanan dan setia kawan diantara murid pada kejohanan olahraga SK Sri Gaya di Kompleks Sukan Likas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tambah Muhammad Arif, kejohanan olahraga yang diadakan kali ini juga amat simbolik buat seluruh warga SK Sri Gaya.

“Kita mengadakan sukan tahunan ini sedikit lewat dari sekolah lain kerana kita juga turut bersama menyahut cabaran untuk bersukan dalam kempen Bulan Sukan Negara.

“Dan Alhamdulillah dengan cuaca yang baik dan cerah pagi ini, kita dapat jayakan kempen ini,” katanya.

Kejohanan dimulakan dengan acara perbarisan yang disertai oleh rumah sukan yang bertanding dan persembahan tarian sebagai membuka tirai persembahan.

Antara acara yang dipertandingkan ialah acara pecut 100 meter, acara lompat berpagar 80 meter, lompat tinggi dan lompat jauh.

Pada temasya kali ini, rumah sukan Laksamana dinobatkan menjadi juara keseluruhan mengalahkan tiga lagi rumah sukan yang bertanding. -SabahNewsToday