Pilih Bahasa

SUKUMS 2019 pupuk semangat berpasukan antara kakitangan

KOTA KINABALU: Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (SUKUMS) Ke-18 mampu menyumbang kepada usaha memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata, selain sebagai acara tahunan universiti, kejohanan ini juga dilihat sebagai kaedah untuk mewujudkan keakraban dalam kalangan staf serta dapat berinteraksi melalui sukan sekali gus dapat menerapkan amalan gaya hidup sihat.

Pendaftar UMS, Vina Zariani Yusof ketika ucapan perasmian SUKUMS 2019.-Gambar SNT/Ihsan UMS

“Paling penting adalah semangat kesukanan tinggi harus dipamerkan dalam apa juga sukan yang kita sertai dan janganlah kerana inginkan kemenangan menjadi faktor kepada terjadinya perpecahan.

“Komitmen yang dipamerkan oleh kakitangan saya lihat sebagai suatu yang perlu dibanggakan oleh warga universiti, dan untuk itu pengurusan universiti akan terus menyokong aktiviti berkaitan dengan sukan antaranya dengan membaiki kemudahan sukan yang sedia ada seperti trek dan balapan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian SUKUMS kali ke-18 di UMS Arena, di sini, baru-baru ini.
Menurut Vina, adalah menjadi harapan beliau agar kejohanan tersebut menjadi platform yang dapat digunakan bagi memastikan universiti terus cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.

Bacaan lafaz ikrar kejohanan oleh wakil staf Universiti Malaysia Sabah(UMS).-Gambar SNT/Ihsan UMS

“Saya juga rasa perlu untuk menetapkan objektif utama agar lebih ramai lagi kakitangan UMS yang dapat mewakili negeri mahupun pasukan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, kejohanan kali ini menyaksikan sebanyak 24 jenis sukan dipertandingkan termasuk dua sukan yang baru diperkenalkan iaitu sukan memancing laut dalam dan petanque.

Lapan pasukan akan bersaing merebut kejuaraan pada SUKUMS kali ini, iaitu Kontinjen Twin Tower, D’Arts, Royal Esteem, The Legend, Team Sandakan, Science United, UMSKAL, dan Super 9.

Penyerahan obor kejohanan menandakan SUKUMS kali ke-18 secara rasminya bermula.-Gambar SNT/Ihsan UMS

Hadir sama pada majlis perasmian itu Pengarah Pusat Sukan, Ahmadi Nurdin.-SabahNewsToday