Pilih Bahasa

Sultan Brunei berangkat tiba di Negeri Dibawah Bayu

Oleh Mohd Adam Arinin

Sultan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bersalaman sebaik tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), pagi tadi. Turut kelihatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sultan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha selamat berangkat tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 11 pagi, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda bersama rombongan dengan pesawat khas jenis Boeing 787 ‘Dreamliner’ yang turut dikemudi sendiri oleh Baginda dari Bandar Seri Begawan ini, disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, ahli kabinet kerajaan negeri serta orang ramai.

Sultan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dilihat sedang mengemudi pesawat khas yang diterbangkan sendiri oleh Baginda di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) jam 11 pagi, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Baginda seterusnya akan berangkat ke penginapan di salah sebuah pusat peranginan terkemuka di Kota Kinabalu.

Lawatan singkat baginda berdua di Sabah adalah untuk menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak kepada Ketua Menteri Sabah dan dijangka akan berangkat pulang pada lewat malam ini. -SabahNewsToday