Pilih Bahasa

Sumbangan industri hiliran mampu capai sasaran 5.1 peratus KDNK Sabah menjelang 2020

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah) menyaksikan paparan skrin semasa melancarkan Karnival Pekerjaan EIS Perkeso Negeri Sabah 2019. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Peningkatan memberangsangkan industri minyak dan gas global serta pendekatan  kerajaan negeri dalam meningkatkan perusahaan hiliran dijangka mampu menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah kepada 5.1 peratus tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebahagian besar unjuran tersebut juga dapat dicapai   menerusi sumbangan sektor pelancongan negeri ini dengan cara menambah bilangan produk pelancongan sedia ada.

“Kerajaan negeri berharap suasana ekonomi global baik pada tahun ini dan hadapan unjuran pertumbuhan KDNK Sabah dijangkakan meningkat kepada 5.1 peratus sekaligus bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Bagaimanapun cabaran pada masa ini adalah untuk mengurangkan pengangguran di negeri ini iaitu sebanyak 3.3 peratus atau seramai 520,000 bilangan penganggur yang direkodkan pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Karnival Pekerjaan EIS (Akta Sistem Insurans Pekerjaan) Perkeso Negeri Sabah 2019 di pusat beli belah Suria Sabah yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed; Ketua Pejabat EIS Perkeso, Datuk Mohd Sahar Darusman dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPMS), Datuk Mohd Hasnol Ayub.

Mohd Shafie berkata selain daripada sumbangan sektor perindustrian, kerajaan neger juga melihat kepada potensi pertanian negeri ini sebagai salah satu penggerak terhadap capaian pertumbuhan KDNK Sabah pada tahun hadapan.

“Seiring dengan agenda kita untuk menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin, kerajaan negeri mahu Sabah menjadi pengeluar komponen produk-produk di pasaran seperti perabot, perkilangan selain minyak dan gas.

“Ini merupakan antara usaha yang kita sedang bincangkan dengan Petronas untuk membolehkan supaya kita ada peluang pekerjaan untuk anak tempatan yang mempunyai kelulusan dan kemahiran bersesuaian dengan bidang kerja ditawarkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan melancarkan Blue Print Pertanian pada 5 November ini sebagai usaha jangka panjang kerajaan dalam meningkatkan pencapaian sektor pertanian negeri ini. – SabahNewsToday