Pilih Bahasa

SUP Datuk Nor Rizan bersara 6 Oktober

Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah merakam gambar kenangan bersama Nor Rizan (depan, kiri) dan Sharifah (depan, kanan) dan rombongan Pejabat SUP Sabah. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU :  Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani yang akan bersara pada 6 Oktober ini, mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Beliau yang dilantik ke jawatan tersebut sejak 05 April 2017, gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh lebih 100 ribu kakitangan awam Persekutuan dan 145 agensi dan jabatan Persekutuan di Sabah, di samping berpuas hati dengan hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Tun Juhar (tengah) dan Toh Puan Norlidah ketika menerima kunjungan Nor Rizan dan rombongan di Dewan Kunjungan Istana Negeri. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Kunjungan saya pada pagi ini bertujuan untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar dan Kerajaan Negeri kerana selama setahun setengah berada di Sabah, saya mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak.

Tun Juhar menyampaikan cenderamata berupa puncak Gunung Kinabalu kepada Nor Rizan (kiri) sambil diperhatikan, Sharifah (kanan) dan Toh Puan Norlidah. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Malah, semua agensi serta jabatan Persekutuan di Sabah telah sama-sama membantu Kerajaan Negeri dalam mengendalikan tugas, perancangan program dan projek Persekutuan supaya rakyat dapat menikmati kemajuan dengan lebih sempurna.

Toh Puan Norlidah turut menyampaikan cendera kenangan berupa batik canting tempatan kepada Sharifah (tengah). Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Selain menjalin hubungan rapat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, sebagai SUP, saya juga melaksanakan tugas menyelaras dan memantapkan program atau projek pembangunan Persekutuan di Sabah agar dilaksanakan mengikut perancangan masa yang ditetapkan kerana itu adalah untuk faedah dan manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Beliau ditemani isteri, Datin Sharifah Zain yang juga Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Sabah serta para pegawai kanan Pejabat SUP di Istana Negeri, pagi tadi.-SabahNewsToday/Jabatan Penerangan Sabah