Pilih Bahasa

‘Superman’ mandi lumpur

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Seorang penagih melakukan lagak ‘Superman’ dengan terjun melalui tingkap rumahnya di Kampung Sembulan, di sini, untuk meloloskan diri daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan Ops Cegah, pagi tadi.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 32 tahun itu gagal apabila dia terjatuh ke dalam lumpur hingga menyukarkan dia bergerak sebelum ditahan pegawai dan anggota AADK yang sudah mengepung kawasan berkenaan.

Suspek mandi lumpur selepas cubaan terjun dari tingkap rumahnya setinggi tiga meter di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan AADK KK

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suspek berusia 32 tahun yang menyedari kehadiran penguatkuasa AADK cuba bersembunyi di dalam bilik namun berjaya dikesan sebelum dia merempuh cermin tingkap rumah sehingga pecah sebelum terjun.

Dia kemudian jatuh di dalam lumpur sebelum ditahan pegawai dan anggota AADK yang sudah mengepung kawasan rumah berkenaan.

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata suspek pernah ditahan atas kesalahan dadah pada Januari lalu namun gagal hadir mahkamah untuk pertuduhan.

Antara suspek yang ditahan dalam operasi pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan AADK KK

“Hasil saringan awal air kencing suspek positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Suspek turut mengaku baru saja mengambil syabu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Lawrence berkata, operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir 3 pagi itu turut menahan 10 lelaki di lapan kampung di daerah ini dan Putatan.

“Antaranya Kampung Kalansanan, Warisan, Bambangan, Pomotodon, Taman Serigai, Tugu Peringatan, Kepayan Ridge dan Sembulan.

Suspek yang ditahan dibawa ke Wisma Dang Bandang untuk siasatan lanjut. Gambar SNT/Ihsan AADK KK

“Semua mereka berusia lingkungan 19 hingga 60 tahun didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Terdahulu, operasi itu disertai lima pegawai dan anggota AADK Kota Kinabalu, dua AADK Negeri dan dua anggota dari Ibu Pejabat AADK Kuala Lumpur.-SabahNewsToday