Pilih Bahasa

Suri rumah digalak ceburi perniagaan

Sabini (kanan sekali) bersama perserta kursus mempelajari cara-cara membuat bebola ikan dan fishcake berlada hitam di di Unit Latihan Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Daerah Tenom. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Tenom

TENOM: Jika dahulu, wanita lebih sinonim dengan status sebagai suri rumah namun pandangan itu berubah selari dengan 60 tahun kemerdekaan apabila wanita hari ini menjadi sebahagian daripada penyumbang utama ke arah mencapai status negara maju.

Hal ini ketara melalui pelbagai komitmen kerajaan bagi memperkasakan keupayaan wanita dalam pembangunan dan pentadbiran negara termasuk memperkukuh serta membangunkan ekonomi golongan hawa.

Perniagaan pula dilihat sebagai satu cabang yang mampu meningkatkan peranan wanita menerusi pelbagai bidang seperti peruncitan, penternakan, kesihatan serta penghasilan makanan.

Baru-baru ini, seramai 15 wanita terdiri suri rumah daripada daerah Tenom telah menyertai kursus sehari pakej berbayar Membuat Bebola Ikan dan Fishcake Berlada Hitam.

Kursus tersebut diselia oleh Srikandi Bersatu Tenom di Unit Latihan Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Daerah Tenom.

Menurut Ketua Srikandi Bersatu Tenom, Sabini Ansumor program tersebut gabungan beberapa kampung di Mukim Kemambong Tenom

Katanya, program ini berjaya dilaksanakan dan penyertaan wanita yang hadir berpeluang mempelajari cara-cara menghasilkan bebola ikan dan berpotensi untuk dipasarkan.

Beliau berharap para peserta yang menyertai kursus ini mampu menghasilkan bebola ikan tempatan dan seterusnya meningkatkan ekonomi pendapatan keluarga khususnya di kawasan Kemambong.

“Secara tidak langsung kursus ini dapat memberikan idea untuk memberi menerokai peluang kepada golongan wanita untuk menceburi bidang keusahawanan yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensi-agensi kerajaan, selain dapat menambah pendapatan keluarga,” katanya. – SabahNewsToday