Pilih Bahasa

SURIA CAPITAL UMUM BONUS SAHAM TAMBAHAN SEHINGGA 58.278 JUTA UNIT

Oleh Alfred Petrus

Ibrahim (tengah), Pengarah Urusan Kumpulan Suria Ng Kiat Min (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Suria Noorida Baharuddin (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan selepas sidang media tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Suria Capital Holdings Berhad (Suria) mengumumkan kelulusan pengagihan tambahan saham sehingga 58.278 juta unit bagi pemegang saham mereka bagi tahun 2018.

Pengerusi Suria Tan Sri Ibrahim Menudin berkata jumlah tersebut berdasarkan satu unit tambahan agihan bagi setiap lima unit saham Suria yang sedia ada kepada pemegang sahamnya.

Dalam pada itu, katanya modal saham biasa dijangka akan meningkat daripada 288.183 juta unit saham pra bonus kepada 349.670 juta unit selepas agihan.

“Jumlah sebenar saham bonus baru adalah berdasarkan bilangan saham Suria yang dikeluarkan pada tarikh kelayakan.

“Bonus tambahan ini telah diputuskan dalam mesyuarat pagi tadi,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Suria Capital Holdings 2019 di sini pada Khamis.

Katanya Kumpulan Suria telah mengumumkan perolehan pendapatan tidak diaudit sejumlah RM315 juta sehingga September tahun lalu.

Jelasnya daripada jumlah tersebut, ia mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 45 peratus atau RM97 juta setiap tahun.

“Ini menandakan keuntungan bersih sebanyak RM45 juta bagi tempoh sembilan bulan pada 2018.

“Ia memperlihatkan perniagaan teras pelabuhan ini menyumbang dengan ketara kepada satu prestasi yang kukuh.

“Pemberian bonus saham membolehkan para pemegang saham Suria mempunyai penyertaan yang lebih besar dalam ekuiti syarikat seterusnya mengekalkan peratusan kepentingan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berharap pertumbuhan ekonomi Sabah akan lebih baik dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan pertumbuhan industri pelabuhan negeri.

“Saya berpendapat, 2019 ini akan lebih mencabar bukan hanya untuk Sabah tetapi seluruh negara mahupun dunia.

“Jadi kita akan melihat bagaimana pertumbuhan ekonomi ini memberi kesan terhadap kita pada permulaan tahun baru ini.

“Kami berharap ia tidak menjejaskan kami kerana perniagaan pelabuhan agak stabil pada ketika ini,” jelasnya. -SabahNewsToday