Pilih Bahasa

Suruhanjaya khas untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya – ERC

ALOR SETAR, 21 Ogos (Bernama) — Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya khas bagi melaksanakan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya di negara ini.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekaligus boleh menumpukan kepada peranan utamanya menjalankan pilihan raya.

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Gambar Bernama

“Langkah ini yang dilakukan di banyak negara maju juga dapat mengelakkan SPR dituduh kononnya melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi memenangkan parti politik tertentu dalam pilihan raya.

“Di Kanada sebagai contoh, negara tersebut mempunyai ‘boundary commission’ yang bertanggungjawab melakukan persempadanan semula selepas tempoh masa tertentu dan kaedah ini dilihat lebih adil kepada SPR dan parti politik bertanding,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Libat Urus Terbuka mengenai Reformasi Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya peringkat negeri Kedah.

Menjelas lanjut, Abdul Rashid berkata pada masa ini ERC sedang mengkaji beberapa model yang diguna pakai di beberapa negara lain termasuk Kanada, England dan New Zealand dan mencari model sesuai untuk dipraktikkan di negara ini.

Katanya, suruhanjaya khas itu bukan permanent (kekal). Ia boleh ditubuhkan sekurang-kurangnya setiap lapan tahun sekali bagi melakukan persempadanan semula.

Suruhanjaya itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilih di bawah Parlimen.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata ERC juga akan mencadangkan ‘tempoh bertenang’ diperkenalkan selepas tempoh berkempen dan sebelum hari pengundian semasa pilihan raya.

Katanya, pada masa ini Malaysia tidak mempunyai tempoh tersebut sekaligus menyebabkan petugas SPR, jentera parti politik dan pihak lain yang terlibat dalam pilihan raya keletihan sebaik tamat tempoh berkempen.

“Kita akan kaji tempoh bertenang yang sesuai, seperti dilaksanakan di negara lain, mungkin tiga hari sesuai, jadi semua orang akan cukup rehat sebelum hari pengundian.

“Dalam tempoh bertenang ini pun poster akan dibuang, jadi pengundi pun akan lebih ‘fresh’ sebelum mengundi, mereka juga ada masa yang cukup untuk membuat keputusan,” katanya.

— BERNAMA