Pilih Bahasa

SUSPEK CURI KABEL ELEKTRIK SEMBUNYI ATAS SILING DICEKUP

Oleh Mohd Adam Arinin

Suspek naik ke atas siling untuk bersembunyi dari polis di bangunan pencawang elektrik SESB di Alam Mesra. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Cubaan seorang suspek curi kabel elektrik melarikan diri daripada pihak berkuasa dengan bersembunyi di atas siling bangunan pencawang elektrik SESB di Alam Mesra di sini gagal.

Lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu ditangkap dalam tempoh 24 jam selepas polis menerima laporan kejadian curi kabel elektrik di kawasan yang sama petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam satu kenyataan hari ini berkata suspek bekerja sebagai pengumpul besi buruk.

Keadaan dalam bangunan pencawang elektrik SESB di Alam Mesra. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

“Tangkapan dibuat susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh pengawal keselamatan sebuah pejabat di Alam Mesra yang melihat suspek sedang memotong kabel elektrik milik SESB semasa menjalankan rondaan rutin.

“Menyedari kejadian itu, pengawal keselamatan bertindak untuk mengejar suspek yang kemudiannya berjaya meloloskan diri,” katanya.

Walaubagaimana pun, polis berjaya menjejaki suspek yang cuba bersembunyi di atas siling bangunan pencawang elektrik SESB di kawasan berhampiran.

Peralatan yang digunakan suspek ketika ditahan. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Polis juga menemukan peralatan yang dipercayai digunakan suspek seperti alat pemotong wayar dan ‘test pen’,”katanya.

“Suspek yang beralamat di Pulau Gaya itu kini sedang ditahan reman. Tangkapan ini akan disiasat dibawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan,” katanya.-SabahNewsToday