Pilih Bahasa

Suspek larikan tiga anak, ugut bunuh isteri ditahan polis

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Suspek (dua dari kiri) ditahan di sebuah hotel di Batu 11.5 Jalan Leila Sandakan. – Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis berjaya menahan pengusaha syarikat agensi pengurusan pasport yang dipercayai melarikan tiga anaknya dan cubaan mengugut bunuh isteri serta ahli keluarganya di sebuah hotel di Batu 11.5 Jalan Leila Sandakan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menjalankan Operasi Cantas dan berjaya menahan suspek di lokasi terbabit pada pukul 3.45 pagi.

“Suspek berjaya dikesan hasil risikan dan maklumat orang awam. Ketika ditahan, suspek berada di dalam bilik hotel terbabit bersama tiga anaknya. 

“Ketiga-tiga anak suspek berusia empat hingga 13 tahun berada dalam keadaan selamat,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan 506 Kanun Keseksaan. 

Semalam Sabah News Today melaporkan seorang lelaki diburu polis dipercayai melarikan tiga anaknya dan cubaan mengugut bunuh isteri serta ahli keluarganya yang lain dalam kejadian di pejabat suspek di Fajar Centre dekat sini pada Rabu.

Suspek dikenali sebagai Hani Mosbah Ramadan Al Ayaydeh, 43, memaksa isterinya membuat pasport anak bongsunya untuk dibawa balik ke Jordan pada hari yang sama.

Pertengkaran mulai tercetus ketika isteri suspek tidak bersetuju dengan tindakan suspek membawa anaknya ke Jordan.

Suspek turut mengugut akan membunuh isteri serta keluarganya yang lain jika enggan memberi hak menjaga ketiga-tiga anaknya. 

Ekoran kejadian itu suspek kemudian bertindak melarikan ketiga-tiga anaknya menaiki kenderaan jenis Toyota Vigo berwarna putih. – SabahNewsToday