Pilih Bahasa

Suspek pecah masuk kilang perabot ditahan bersama barang curi

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis bandar raya ini berjaya menyelesaikan kes pecah masuk sebuah kilang perabot di Jalan Tuaran, di sini, tidak sampai 24 jam selepas menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri beberapa barangan di kilang berkenaan, semalam.

Suspek warga asing berusia 50 tahun itu berjaya ditahan di rumahnya di Kampung Kampung Tobur, di sini, pada 5.20 petang selepas polis menerima laporan daripada pemilik kilang terbabit pada jam 9 pagi pada hari yang sama.

Antara barangan curi yang ditemui polis. Gambar Komposit SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata dalam serbuan itu polis menemui semula lima barangan yang dicuri dari kilang perabot berkenaan.

Katanya antara yang ditemui semula ialah kipas angin, mesin pemotong aluminium dan kayu, mesin gerudi serta dua mesin pemampat udara di ruang tamu rumah suspek.

“Ketika serbuan dilakukan, pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

ACP Habibi Majinji. Gambar Fail SNT

“Selain itu, hasil soal siasat, suspek mengaku semua barangan yang tersimpan di ruang tamu rumahnya adalah hasil curi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Manggatal untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday