Pilih Bahasa

Suspek pecah rumah ditahan selepas polis lepaskan tembakan

Oleh Zakaria Damit

Proton Preve yang dipandu suspek terhenti di tepi jalan di Batu 10 Jalan Tuaran Lama, Manggatal. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

Kota Kinabalu: Polis melepaskan empat das tembakan dalam usaha memberhentikan sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki yang disyaki terbabit beberapa kes pecah rumah dalam kejadian di Batu 10, Jalan Tuaran Lama, Manggatal, semalam.

Kejadian jam 5.30 petang itu suspek berumur lingkungan lewat 30-an diarah berhenti oleh sepasukan polis di kawasan Inanam untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat beberapa kes pecah rumah di daerah ini.

Bagaimanapun, suspek yang memandu kereta jenis Proton Preve sebaliknya memecut laju kenderaan ke arah pekan Manggatal.

Ketika di lokasi kejadian, keadaan jalan yang sesak menyebabkan suspek melanggar beberapa kenderaan untuk melarikan diri.

Melihat situasi itu anggota polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek menyebabkan proton itu terbabas dan berhenti.

Suspek yang dikenali sebagai Boy kemudian keluar daripada kenderaan dan cuba melarikan diri namun berjaya dihalang.

Ketika hendak ditahan, suspek bertindak agresif cuba melawan tetapi gagal sebelum dia diberkas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Beliau berkata suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di daerah ini dan ditahan bagi siasatan lanjut. – SabahNewsToday