Pilih Bahasa

Suspek rogol nenek berusia 72 tahun ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

TUARAN: Selepas seminggu diburu, suspek kes rogol seorang nenek berusia 72 tahun di Tamparuli, di sini, akhirnya diberkas polis, pagi tadi.

Suspek berusia 30 tahun diberkas polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dalam Ops Kesan/Cantas di salah sebuah kampung di Kiulu, Tamparuli, jam 11.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Hamizi Halim berkata suspek dibawa ke IPD Tuaran untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek dipercayai terbabit kes rogol wanita warga emas berusia 72 tahun di kawasan Tamparuli, pada 7 Disember lalu.

“Siasatan mendapati suspek itu mempunyai kes tiga jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan persiapan penganjuran Tuaran Cop Run 2020.

Tuaran Cop Run akan diadakan pada 28 Mac 2020 dan tarikh pendaftaran bermula pada 16 Disember hingga 2 Mac 2020.

Mengulas lanjut, Mohd Hamizi berkata suspek kini ditahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Kejadian 7 Disember lalu, mangsa wanita berusia 72 tahun dikatakan sedang tidur di rumah seorang diri dan terjaga apabila melihat suspek sudah berada di hadapannya sambil menunjukan tangan supaya mangsa tidak menjerit.

Suspek kemudian merayu supaya mangsa memberi peluang kepadanya untuk melakukan seks kerana mendakwa sudah lama tidak berbuat demikian.

Mangsa cuba melawan namun kudrat suspek yang lebih kuat menyebabkan warga emas itu tidak mampu melawan dan suspek kemudisn merogol mangsa tanpa kerelaannya.

Selepas kejadian itu, mangsa menemui Ketua Kampung sebelum membuat laporan polis pada 11 Disember lalu di Balai Polis Tuaran.

Difahamkan mangsa tinggal bersama suaminya dan mempunyai 10 anak serta ramai cucu. -SabahNewsToday