Pilih Bahasa

Suspek tiada kaitan dengan saya: Adun Balung

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Ketua AADK Tawau, Abdul Gani Keruput (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Osman Jamal. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal menjelaskan bahawa lelaki warganegara Malaysia yang ditahan polis Bahagian Narkotik Kalimantan Timur, Indonesia disyaki cuba menyeludup masuk dadah seberat enam kilogram (kg), 16 Julai lalu, tidak ada kaitan dengan beliau.

Malah katanya, gambar swafoto beliau dengan suspek itu diambil ketika majlis yang diadakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tahun lalu.

“Ramai orang tularkan gambar berkenaan dan bertanya kepada saya kenapa gambar saya begitu banyak dengan suspek. Namun, saya kata semua gambar berkenaan adalah diambil dalam majlis dan ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sudah tentu kita sebagai calon pilihan raya akan berswafoto dengan sesiapa sahaja yang mahu bergambar dengan kita. Kita kena raikan mereka dan dalam satu majlis PKR pula, kebetulan suspek adalah ahli jadi suspek pun berswafoto dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab (Smart) anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tawau dengan kerjasama Skuad AADK, di Dewan Kastam Diraja Malaysia, di sini hari ini. 

Tambahnya secara peribadi sudah mengenali suspek sebagai seorang ahli politik yang mengetuai salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun beliau tidak ada kaitan dengan aktiviti haram yang dilakukan suspek.

“Saya juga melihat ramai wakil-wakil rakyat yang suspek turut bawa berswafoto dan ini menunjukkan gambar-gambar itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan aktiviti haram itu. Dia hanya sebagai rakyat Sabah yang ada di Tawau dan ingin bergambar.

“Saya kenal suspek dan mana-mana majlis saya dia akan hadir namun bukan kenal rapat. Saya kenal dia sebagai seorang ahli politik dan ketua kepada salah sebuah NGO,” jelasnya. – SabahNewsToday