Pilih Bahasa

Susulan bot karam di Pitas – beg tangan dipercayai milik mangsa hilang ditemui

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot karam di perairan Kudat – Berungus, hari ini, menemui beg tangan dipercaya milik mangsa berkenaan.

Beg tangan milik Lili Sumansi Suhaimi, 20, itu ditemui oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan Kampung Sawangan selepas SAR disambung semula kira-kira jam 7 pagi tadi.

Beg tangan dipercayai milik mangsa yang masih hilang ditemui pasukan SAR di kawasan Kampung Sawangan. Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dalam kenyataan medianya hari ini berkata, selain Maritim Malaysia, SAR yang disambung semula hari ini turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan APM serta komuniti maritim di kawasan berdekatan.

“Maritim Malaysia Sabah mendapat maklumat terbaru selepas anggota APM menemui beg tangan milik mangsa di kawasan Kampung Sawangan pagi tadi.

“Usaha SAR diteruskan sehingga petang tadi dengan kaedah ‘Parallel Pattern serta kaedah swapping. Namun masih belum ada tanda-tanda penemuan mangsa yang hilang,” katanya.

Anggota Maritim Malaysia Sabah sedang melakukan tinjauan dalam SAR mangsa bot karam di perairan Kudat – Berungus. Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

Menurutnya, Maritim Malaysia sudah membuka markas operasi hadapan di Kampung Malubang.

“Operasi SAR ditangguhkan jam 6.30 petang tadi berikutan keadaan gelap dan akan disambung esok,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, empat daripada lima mangsa bot karam berkenaan ditemui penduduk kampung, termasuk dua mangsa lelaki disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mustaib Muimin, 60-an dan Suhaimi Salleh, 60-an manakala dua yang selamat ialah Mardi Suhaimi 40-an dan Owya Timbangan, 63.

Semua mangsa berasal dari Kampung Malubang, Pitas dan ketika kejadian semua mangsa menaiki bot ke Kudat untuk membeli barangan keperluan sebelum bergerak pulang ke Pitas.

Ketika dalam perjalanan di kawasan perairan Kudat – Berungus, berlaku angin kencang dan ombak kuat hingga menyebabkan bot berkenaan mengalami kebocoran dan dipukul ombak sebelum karam.-SabahNewsToday