Pilih Bahasa

Susulan kematian gajah pygmy: Enam lelaki, senjata api termasuk bakakuk dan peluru dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang warga asing hari ini kerana disyaki terbabit dalam kes tembak gajah pygmy Borneo di Sungai Uding, Dumpas, Kalabakan, dekat sini, pada 23 Sept lalu.

Suspek berusia antara 48 hingga 68 tahun itu ditahan sepasukan polis di beberapa lokasi berasingan kawasan Felda Umas sekitar pukul 12 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.

Antara senjata api dan peluru yang dirampas pihak polis. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata siasatan mendapati dua daripada suspek disyaki menembak gajah berkenaan manakala empat lagi suspek disyaki bersubahat menyembunyikan senjata api, memotong gading dan menyembunyikan gading.

Katanya hasil tangkapan terbabit, pihaknya berjaya merampas lima senapang pelbagai jenis termasuk bakakuk dan 112 peluru hidup serta dua gading gajah.

Peter (kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas disyaki antara senapang digunakan menembak gajah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Dua suspek disyaki terbabit menembak gajah dan daripada lima senapang yang dirampas, hanya dua senapang yang digunakan untuk menembak iaitu senapang patah buatan sendiri (bakakuk) serta senapang angin.

“Daripada enam suspek yang ditahan, seorang daripada mereka memang memiliki lesen senjata api dan pembelian senjata api serta peluru terbabit adalah secara sah,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Dua lagi senjata dirampas selepas salah seorang daripada suspek bersubahat menyembunyikan senjata api. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata siasatan turut mendapati dua suspek yang menembak gajah berkenaan adalah pekerja dan peneroka Felda manakala selebihnya bekerja sebagai pekebun kecil.

“Mereka digajikan oleh majikan ladang bagi tujuan menjaga kawasan itu daripada dimasuki gajah.

“Empat lagi bersubahat dalam menyembunyikan dan memotong gading serta menyembunyikan senjata api,” jelasnya.

Jelasnya lagi gajah berkenaan ditembak lalu diikat dan dibiarkan mati sebelum gadingnya diambil oleh suspek.

“Semua suspek akan direman esok dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Pada 23 September lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan dekat sini dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.

Bangkai gajah jantan itu ditemui berhampiran tebing sungai dan pemeriksaan awal pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mengesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan dipercayai akibat tembakan senjata api. – SabahNewsToday