Pilih Bahasa

Susulan kes mayat ditemui terapung 23 April lalu, buaya 14 kaki panjang ditangkap di Sungai Pang Burong hari ini

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Seekor buaya berukuran 14 kaki panjang dengan berat dianggarkan lebih kurang 500 kilogram berjaya ditangkap Jabatan Hidupan Liar di sini hari ini.

Sang Bedal terbabit ditangkap kurang sebulan selepas seorang lelaki warga emas maut diserang buaya di Sungai Pang Burong berhampiran Kilang Sawit KL Kepong, di sini pada 23 April lalu.

Buaya berukuran 14 kaki panjang ini masuk ke dalam perangkap yang dipasang JHL Tawau pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan JHL Tawau

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah Bahagian Tawau, Sailun Aris berkata buaya itu disedari masuk perangkap pukul 8.30 pagi tadi ketika pemeriksaan dijalankan untuk menukar umpan baharu.

“Kita akhirnya berjaya menangkap buaya terbabit selepas beberapa kali menukar umpan baharu manakala perangkap juga sudah diubahsuai supaya lebih besar dan panjang.

Orang ramai melihat buaya yang terperangkap. Gambar SNT/Ihsan JHL Tawau

“Kejadian yang meragut nyawa pada 23 April baru-baru ini menyebabkan kami bertindak memasang perangkap buaya di kawasan itu supaya tidak ada lagi individu yang menjadi mangsa kepada sang bedal berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Sailun berkata buaya terbabit akan dibawa ke Tawau sebelum ditempatkan di kolam atau Taman Buaya yang sesuai sementara menunggu tindakan seterusnya dilakukan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan sungai terbabit kerana bimbang jika kawasan itu sudah menjadi habitat reptilia sebelum ini.

Pasukan Jabatan Hidupan Liar sedang mengangkat perangkap tersebut ke tebing sungai. Gambar SNT/ JHL Tawau

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kakitangan jabatan dan pekerja ladang berhampiran yang bekerjasama memasang perangkap berkenaan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit terutama kakitangan JHL Tawau yang memasang perangkap dan kerjasama yang baik daripada pihak ladang.

“Saya berharap kes serangan buaya tidak berulang lagi dan diingatkan kepada pekerja ladang atau orang ramai supaya sentiasa berhati-hati apabila menggunakan atau menghampiri sungai berkenaan demi menjaga keselamatan diri,” katanya.

Jabatan Hidupan Liar juga akan sentiasa memantau keadaan dan meneruskan usaha memasang perangkap buaya di kawasan sungai terbabit, katanya.

Pada 23 April, mayat Zainuddin Beddu, seorang warga Indonesia berumur 61 tahun, di temui terapung di sungai dipercayai dibaham buaya.-SabahNewsToday