Pilih Bahasa

Sutera Harbour Resort perkenal hidangan ‘take away’ sepanjang PKP

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Selepas menutup sementara perkhidmatan selama empat minggu sejak pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sutera Harbour Resort kini menawarkan pelbagai hidangan enak kepada pelanggannya.

Sutera Harbour Resort menerusi kenyataan medianya menyatakan terdapat sembilan jenis juadah boleh dipilih termasuklah masakan berasakan daging dan makanan laut serendah RM12 bagi setiap hidangan.

Antara menu disediakan Sutera Harbour Resort termasuklah asam pedas ekor, nasi ayam, makanan laut masak lada hitam, kari kepala ikan dan ikan masam manis.

Pelanggan hanya membuat tempahan setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan pilih menu yang diinginkan.

Selepas melakukan pembayaran secara atas talian, sekitar 40 minit pelanggan sudah boleh mengambil pesanan makanan yang sudah ditempah di lobi utama The Magellan Sutera Resort.

Melalui kenyataan sama, Sutera Harbour Resort memaklumkan semua hidangan terbabit tidak lama lagi turut boleh ditempah melalui aplikasi Food Panda. -SabahNewsToday