Pilih Bahasa

Swasta mainkan peranan penting zahirkan semangat patriotik: Ketua Menteri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Inisiatif pihak swasta seperti industri perhotelan menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan amat dialu-alukan oleh kerajaan negeri dalam memupuk keharmonian serta semangat cintakan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha menerapkan nilai-nilai murni itu bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan tetapi juga semua pihak termasuk sektor swasta.

Mohd Shafie melakukan scara melepaskan merpati iaitu simbolik perasmian sambutan Hari Kebangsaan 2019 Sutera Harbour Resort. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Ini adalah sesuatu yang harus menjadi contoh dan ikutan kepada yang lain dan menyedari hakikat bahawa kemerdekaan bukan sekadar dengan dendangan lalu, mengibar bendera tapi kita membuat sesuatu ke arah pengisiannya.

“Kita selaku rakyat Malaysia memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada pembangunan negara serta memastikan keamanan dirasai sekarang terus dikekalkan demi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2019 Sutera Harbour Resort di sini hari ini.

Mohd Shafie (tengah) memberikan tabik hormat ke tas para pembawa Jalur Gemilang dan bendera Sabah pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 Sutera Harbour Resort. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Bagi menandakan perasmian itu Mohd Shafie dan beberapa tetamu lain melakukan upacara gimik iaitu melepaskan burung merpati selain turut menerima acara tabik hormat daripada anggota keselamatan.

Turut diadakan ialah nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanahairku diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Syuryani Shuaib; dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar; Menteri Belia dan Sukan negeri, Phoong Jin Zhe; Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Sutera Harbour Resort, Gilbert Ee dan Timbalannya, Gerard Tan.

Mohd Shafie dan Syuryani bergambar kenangan bersama tetamu dan kakitangan Sutera Harbour pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 Sutera Harbour Resort. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Sementara itu Pengarah Sumber Manusia dan Latihan Sutera Harbour Resort, Md Alfredo Md Yahya berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohd Shafie dalam menyokong penganjuran program tersebut.

“Adalah menjadi aspirasi Sutera Harbour untuk menjadi majikan dan syarikat yang bertanggungjawab dan boleh ditauladani dalam industri perhotelan bukan hanya kerana menyediakan peluang pekerjaan tetapi juga melahirkan golongan pekerja profesional dan patritik.

“kami sangat komited untuk bersama-sama kerajaan membina masyarakat setia pada negara dan bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Tidak dinafikan katanya, kemesraan dan kehidupan harmoni ini juga menjadi satu daya tarikan pelancong ke negara ini khususnya Sabah. – SabahNewsToday